KUALA LUMPUR: Sindiket penipuan dalam talian kini dikesan menggunakan taktik baharu dengan menyasarkan golongan remaja yang gemar membeli permainan serta barangan digital secara dalam talian, malah ada mangsa yang diugut supaya tidak membuat laporan polis.
Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, pihaknya menerima aduan membabitkan seorang remaja yang diperdaya untuk membuat pembayaran kepada scammer sebelum diugut kononnya boleh dikenakan tindakan undang-undang jika membuat laporan polis.
Katanya, scammer terbabit mendakwa mangsa boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 selain mengancam akan menyaman mangsa, semata-mata bagi menakutkan mereka daripada mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
“Ini hanyalah taktik psikologi yang digunakan sindiket bagi memastikan mangsa berdiam diri. Dakwaan sedemikian tidak benar dan mangsa tidak perlu takut untuk membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata, sindiket kini dilihat semakin agresif menyasarkan remaja yang aktif bermain permainan dalam talian dengan menawarkan kredit permainan atau barangan digital pada harga murah menerusi media sosial dan platform tidak rasmi.
Katanya, mangsa kemudian diarahkan membuat pembayaran menggunakan kod QR ke akaun yang dipercayai berpangkalan di luar negara, sekali gus menyukarkan usaha menjejaki wang yang telah dipindahkan.
“Scammer juga menggunakan aplikasi dan laman sesawang palsu yang kelihatan seperti platform jualan sebenar bagi memperdaya remaja.
“Golongan ini menjadi sasaran kerana mereka lebih mudah terpengaruh dengan tawaran menarik dan kurang berpengalaman mengenal pasti modus operandi penjenayah siber,” katanya.
Sehubungan itu, Daniel menggesa kerajaan memperkukuh kerjasama penguatkuasaan rentas sempadan supaya tindakan membekukan akaun yang disyaki digunakan sindiket dapat dilakukan dengan lebih pantas.
“Apabila mangsa membuat laporan polis di Malaysia, kita berharap pihak berkuasa dapat terus berhubung dengan agensi penguat kuasa atau Interpol di negara berkaitan bagi mengesan serta mendapatkan maklumat akaun yang digunakan scammer.
“Kerjasama seperti ini penting kerana banyak transaksi penipuan kini membabitkan akaun di luar negara, menyebabkan proses mengesan suspek menjadi lebih rumit jika tiada tindakan segera,” katanya.
Beliau pada masa sama mengingatkan ibu bapa supaya memantau penggunaan telefon pintar dan aktiviti dalam talian anak-anak, termasuk mengetahui aplikasi yang digunakan serta transaksi yang dilakukan.
“Ibu bapa perlu sentiasa berbincang dengan anak-anak mengenai risiko penipuan dalam talian dan mengingatkan mereka supaya tidak membeli permainan atau barangan digital daripada individu yang tidak dikenali di media sosial.
“Pemantauan secara berkala mampu mengurangkan risiko anak-anak menjadi mangsa sindiket yang semakin licik,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya hanya membuat pembelian permainan atau kredit permainan menerusi platform rasmi dan segera membuat laporan polis serta memaklumkan kepada institusi kewangan sekiranya mengesyaki menjadi mangsa penipuan, bagi meningkatkan peluang menjejaki aliran wang dan membantu siasatan pihak berkuasa.-UTUSAN










