PETALING JAYA: Pelakon dan bekas peserta Dewi Remaja 2025, Sharmaine Alexander, menetapkan kriteria tersendiri dalam memilih pasangan hidup dengan meletakkan syarat individu tersebut mestilah seorang yang sekufu.
Sharmaine atau Sharmaine Ilenna Rudy Alexander, 26, berkata, sekufu yang dimaksudkan bukanlah bersandarkan kepada kerjaya semata-mata, namun, lelaki berkenaan perlu mempunyai persamaan daripada segi pemikiran ‘mindset’ dan cita-cita yang tinggi.
Menurutnya, status jodoh sama ada individu tersebut bekerja dalam industri seni atau berbeza bidang bukanlah satu masalah besar asalkan mereka memiliki hala tuju hidup yang setara.
“Soal sama ada pasangan itu bekerja dalam industri yang sama atau berbeza kerjaya, bagi saya, ia sebenarnya bergantung kepada keadaan kerana kita tidak boleh meramal soal jodoh. Bagaimanapun, jika ditakdirkan bertemu jodoh kelak, saya mahukan seorang pasangan yang sekufu dan berada pada tahap yang sama.
“Bagi saya, bidang kerjaya tidak sama pun tiada masalah asalkan kami mempunyai pemikiran yang serupa. Memandangkan saya seorang yang bercita-cita tinggi, lelaki itu juga haruslah mempunyai impian yang tinggi dan rajin bekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambah Sharmaine, memandangkan usianya yang masih muda, dia mahu memperuntukkan masa yang ada untuk mengukuhkan kariernya sebelum melangkah ke fasa perkahwinan.
“Buat masa sekarang, fokus untuk mencari pasangan hidup atau berkahwin bukanlah menjadi keutamaan saya dalam masa terdekat. Saya rasa diri ini masih muda dan perlu kukuhkan nama dalam bidang kerjaya terlebih dahulu,” jelasnya.
Untuk rekod, Sharmaine Alexander telah dinobatkan sebagai juara pertandingan pencarian bakat popular, Dewi Remaja bagi edisi tahun 2025 dan akan membintangi watak Sarah untuk drama Kasih Yang Terkorban. – UTUSAN










