Samun wanita sedang solat, lelaki dipenjara

Samun wanita sedang solat, lelaki dipenjara

ZAINAL Ahmad mengaku bersalah di Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang semalam atas pertuduhan menyamun seorang wanita di sebuah masjid pada 24 Jun lalu.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah menyamun seorang wanita ketika mangsa sedang menunaikan solat di sebuah masjid, minggu lepas.

Tertuduh, Zainal Ahmad, 54, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyamun sebuah beg tangan milik Nazihah Zainol Abidin, 48, yang mengan­dungi kad pengenalan, kad bank, kunci kereta, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM600 serta sebentuk cincin berlian dengan se­ngaja sehingga menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di ruang solat wanita di Masjid Kapitan Keling di sini kira-kira pukul 6.15 pagi pada 24 Jun yang lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dana boleh didenda atau sebat jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Marissa Safina Saiful Adli manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.

Ketika prosiding, Nur Adilla memohon hukuman terhadap anak guamnya itu diringankan atas alasan tertuduh telah bercerai, tidak bekerja dan menghidap asma selain menganggap pengakuan bersalah oleh lelaki tersebut boleh menjimatkan masa mahkamah.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan mahu hukuman se­timpal selepas mengambil kira tindakan tertuduh yang me­lakukan kesalahan ketika mang­sa sedang beribadat, sekali gus mencemarkan kesucian masjid dan menjejaskan hak mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN