Sabah teliti semula kadar Cukai Jualan Negeri - Masidi

Sabah teliti semula kadar Cukai Jualan Negeri – Masidi

Masidi Manjun - ihsan MOF Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang meneliti semula kadar Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti pemprosesan hiliran dilaksanakan di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, CJN dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) merupakan dua jenis cukai berbeza kerana SST berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, manakala CJN dikenakan oleh kerajaan negeri.

“Kita kini dalam proses meneliti semula semua kadar CJN yang dikenakan bagi memberi galakan kepada syarikat-syarikat menjalankan aktiviti pemprosesan hiliran di dalam negeri,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Donald Peter Mojuntin (Moyog-UPKO) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, pihaknya sedang mengkaji semula kadar CJN bagi industri minyak sawit dan telah mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh pada Jun lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mempertimbangkan pemberian insentif kepada syarikat yang berhasrat memproses minyak sawit di Sabah, termasuk pengecualian CJN atau mengenakannya pada kadar yang munasabah.

Katanya, langkah itu bertujuan menggalakkan pelaburan dalam aktiviti pemprosesan hiliran di samping membolehkan dana yang dijana dimanfaatkan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta memperkukuh industri berasaskan sawit di negeri ini.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Ben Chong ketika menjawab soalan daripada Donald menjelaskan, jumlah kutipan CJN bagi sektor utama sehingga 30 Jun lepas berjumlah RM1,387 juta.

Antara sektor terlibat ialah produk petroleum bernilai RM679.45 juta, minyak sawit mentah termasuk biojisim kelapa sawit (RM703.55 juta) dan komoditi perikanan yang dibawa keluar dari Sabah (RM4.22 juta). – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN