KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menegaskan kuasa autonomi imigresen negeri yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hak yang tidak boleh dirunding dan tidak boleh terjejas menerusi pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, walaupun AKPS berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri telah menyatakan pendirian secara rasmi supaya pelaksanaannya di Sabah tidak menghakis kuasa imigresen yang dijamin kepada negeri itu di bawah MA63.
Katanya, kuasa imigresen Sabah yang diperuntukkan di bawah Artikel V MA63 merupakan antara syarat asas pembentukan Malaysia dan perlu terus dipelihara.
“Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Malaysia 2024 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan. Oleh itu, apa yang telah diputuskan dan dilakukan oleh Kerajaan Negeri adalah mengemukakan pendirian agar pelaksanaan AKPS di negeri Sabah tidak akan menghakis hak autonomi Kerajaan Negeri di bawah akta imigresen.
“Kerajaan negeri Sabah ingin menegaskan bahawa kuasa imigresen kepada Sabah yang termaktub di bawah Artikel Lima (V) Perjanjian Malaysia 1963 merupakan kuasa yang tidak boleh dirunding (non-negotiable) kerana implementasi penubuhan Malaysia di bawah MA63 adalah tertakluk kepada penggubalan kuasa imigresen Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tamparuli) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri turut mengemukakan surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengekalkan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah sebagai agensi yang mengawal semua pintu masuk ke negeri itu.
Katanya, kuasa mengeluarkan notis Not-To-Land (NTL) juga perlu terus berada di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
“Kerajaan negeri Sabah juga menekankan bahawa jaminan perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan mengenai negeri Sabah hendaklah sentiasa terpelihara dan memastikan tiada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa-kuasa autonomi imigresen Sabah dan Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.
Madius ketika mengemukakan soalan tambahan turut mempersoalkan sama ada kerajaan Persekutuan mendapatkan persetujuan Kerajaan Sabah sebelum Rang Undang-Undang AKPS dibentangkan di Parlimen.
Beliau berkata, banyak undang-undang yang menyentuh hak Sabah sebelum ini diluluskan tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri, termasuk pindaan Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Wilayah Laut 2012.
Jelasnya, tindakan sedemikian bercanggah dengan semangat Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perkara berkaitan hak Sabah perlu mendapat persetujuan negeri.
Menjawab perkara itu, Joniston berkata, fokus utama pihaknya adalah memastikan sebarang pelaksanaan AKPS tidak menjejaskan hak autonomi Sabah.
“Kita perlu terus meletakkan keyakinan kepada kerajaan negeri untuk mempertahankan apa jua hak yang sepatutnya menjadi milik kita,” katanya. – UTUSAN










