KUANTAN: Ribuan bangkai pelbagai jenis ikan yang terdampar di sepanjang hampir satu kilometer di Pantai Cherating di sini, mengundang rasa tidak selesa pengunjung sekali gus mencemar imej pantai berkenaan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan.
Bangkai ikan daripada spesis gelama, beliak mata, lauh dan ikan nipis itu dipercayai dibuang individu tidak bertanggungjawab selepas melakukan aktiviti memukat di pantai tersebut.
Lebih mengecewakan, tempat kejadian terletak hanya beberapa kilometer dari lokasi penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan (KITE 4.0) yang berakhir kelmarin.
Kejadian tersebut mula disedari penduduk pada malam Ahad apabila ribuan ikan ditemukan terdampar di persisiran pantai itu sebelum rakaman video tentang keadaan tersebut tular dalam media sosial.
Tinjauan Utusan Malaysia di pantai berkenaan semalam mendapati, bangkai ikan masih bertaburan di sepanjang gigi air di beberapa bahagian pantai, selain mengeluarkan bau busuk yang mencemarkan persekitaran.
Ketika tinjauan dilakukan, pegawai Jabatan Perikanan Negeri Pahang (JPNP) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menjalankan pemeriksaan dan siasatan di lokasi kejadian.
Kelihatan pasukan JAS melakukan pemeriksaan terhadap air laut selain mengambil sampel dipercayai untuk ujian lanjut bagi memastikan tiada unsur pencemaran berlaku sehingga menyebabkan ikan-ikan berkenaan mati.
Difahamkan, langkah itu prosedur operasi standard (SOP) biasa bagi memastikan keadaan laut di kawasan itu benar-benar selamat.
Seorang nelayan, Alias Mohamad, 50, percaya bangkai ikan-ikan berkenaan ditinggalkan oleh individu yang menjalankan aktiviti memukat di kawasan itu selepas hanya membawa pulang hasil tangkapan yang dikehendaki.
“Sebagai penduduk dan nelayan di sini, saya sangat kesal dan kecewa dengan tindakan mereka kerana bukan sahaja mencemarkan persekitaran pantai, malah menyebabkan berlakunya pembaziran hasil laut.
“Sepatutnya ikan-ikan ini masih boleh dimanfaatkan seperti dijadikan ikan kering dan bukan dibiarkan membusuk begini,” katanya ketika ditemui di lokas itu.-UTUSAN










