Revenue Discovery perkasa bakal pesara sektor awam, tangani cabaran hari tua melalui kursus pra persaraan - Utusan Malaysia

Revenue Discovery perkasa bakal pesara sektor awam, tangani cabaran hari tua melalui kursus pra persaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Alam persaraan bukan lagi dilihat sebagai fasa untuk berehat semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan menyeluruh meliputi aspek kewangan, kesihatan, emosi dan gaya hidup bagi memastikan kehidupan selepas tamat perkhidmatan kekal sejahtera.

Pengarah Urusan Revenue Discovery Sdn. Bhd., Ts. Muhammad Syahmi Sadan berkata, persaraan merupakan permulaan kepada satu fasa kehidupan baharu yang memerlukan persediaan rapi agar setiap individu dapat menikmati kehidupan selepas tamat perkhidmatan dengan lebih yakin dan terancang.

Katanya, atas kesedaran itu, Revenue Discovery Sdn. Bhd. menganjurkan Kursus Pra-Persaraan 2026 selama empat hari tiga malam sebagai platform membantu kakitangan sektor awam membuat persediaan menyeluruh sebelum melangkah ke alam persaraan.

“Kursus ini digarap khusus untuk merungkai realiti kehidupan selepas bersara. Kami mahu membina keyakinan peserta supaya lebih bersedia menguruskan kelangsungan hidup, mengekalkan keharmonian keluarga dan meneroka peluang baharu dengan minda yang positif.

“Kami di Revenue Discovery komited untuk terus menyediakan program latihan berkualiti tinggi yang praktikal serta memenuhi keperluan sebenar bakal pesara,” katanya.

Program yang dijalankan dalam suasana santai dan kondusif itu memberi penekanan kepada perancangan kewangan, pengurusan emosi, penjagaan kesihatan serta pembentukan gaya hidup sihat bagi memastikan peserta lebih bersedia menghadapi fasa baharu kehidupan.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta mengikuti pelbagai modul interaktif yang dikendalikan barisan penceramah berpengalaman, termasuk Transformasi Minda Persaraan, Penjagaan Kesihatan Bakal Pesara, Pengurusan Harta Pusaka dan penerangan berkaitan Skim Pencen Sektor Awam.

Selain sesi pembelajaran di dalam dewan, program itu turut diserikan dengan aktiviti riadah luar yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama peserta, mengurangkan tekanan serta membuka ruang perkongsian pengalaman dan pandangan mengenai perancangan selepas bersara.

Keberkesanan kursus itu turut terbukti apabila mendapat penyertaan daripada pelbagai agensi kerajaan dan badan berkanun, termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Rata-rata peserta menyifatkan pendedahan yang diberikan berjaya membuka perspektif baharu mengenai kepentingan membuat persediaan awal sebelum bersara, sekali gus membantu mereka melihat persaraan sebagai peluang untuk memulakan kehidupan yang lebih seimbang dan bermakna.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN