Remaja maut, motosikal terbabas langgar besi penghadang

Remaja maut, motosikal terbabas langgar besi penghadang

SEORANG penunggang motosikal maut dalam nahas di Kilometer 21.9 dari Port Dickson ke Seremban, hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 21.9 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) arah Seremban di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, motosikal yang dinaiki mangsa bersama seorang pembonceng lelaki berusia 19 tahun dipercayai dalam perjalanan dari Port Dickson menghala ke Seremban sebelum hilang kawalan.

“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng mengalami patah kaki kanan dan sedang menerima rawatan di Hospital Port Dickson.

“Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dua lorong sehala. Keadaan permukaan jalan adalah basah dan cuaca ketika kejadian dilaporkan hujan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan saksi bebas yang mempunyai maklumat berhubung kejadian. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN