PETALING JAYA: Pemain dram kumpulan Meditasi, Raja Azreen meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika menjayakan persembahan di Rock Festival Teruntum, Kuantan, Pahang, malam tadi.
Berita duka itu dikongsikan rakan artis, vokalis kunpulan Masa Legac, Zack, menerusi hantaran di media sosial miliknya.
“Assalamualaikum. Saya mendapat perkhabaran duka bahawa pemain dram kumpulan Meditasi, Abang Azreen, telah kembali ke rahmatullah malam tadi ketika membuat persembahan di Rock Festival Teruntum.
“Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah kepada Allahyarham dan mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarganya,” katanya.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa pulang ke Bandar Baru Bangi, Selangor untuk urusan solat jenazah di Surau Bangi Perdana, Jalan 3/7 BBB.
Untuk rekod, kumpulan Meditasi berasal dari Kampung Gali Hilir, Raub, Pahang dan aktif mewarnai industri muzik tempatan pada era 1990-an menerusi lagu popular seperti Bidadari, Hukuman Pada Pesona, dan Biar Pedih Kasih Memanjang. -UTUSAN










