RCI Tabung Haji: PM perlu segera dedah 'dalang'

RCI Tabung Haji: PM perlu segera dedah ‘dalang’

MUJAHID Yusof (tengah) pada sidang akhbar di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mendedahkan segera dalang sebenar yang bertanggungjawab di sebalik dakwaan penyelewengan dalam Tabung Haji (TH) seperti laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenainya.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, perkara itu penting supaya isu TH tidak terus diputar-belitkan khususnya berkaitan proses pemulihan dan penstrukturan semula institusi tersebut antara 2018 hingga 2020.

Beliau berkata, RCI itu telah ditubuhkan semasa pemerintahan Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada hujung 2020–2022, selesai tempoh kajian atau siasatan RCI tersebut untuk dipersembahkan kepada Kabinet. Kebetulan, Kabinet pada waktu itu ialah kerajaan baharu di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan laporan RCI itu sudah diumumkan.

“Sejak itu, kita tidak mempunyai akses kerana ia dikategorikan di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

“Secara peribadi, saya sendiri adalah salah seorang yang dipanggil untuk menjadi saksi kepada pemulihan TH pada 2018–2020.

“Maka, saya orang yang paling teruja untuk mengetahui apakah kandungan dan laporan RCI itu kerana latar RCI tersebut adalah berpandukan kepada kepemimpinan dari tahun 2014 hingga 2020,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut kecewa kerana isu TH masih digunakan bagi memburukkan PH dan dirinya dalam kempen pilihan raya negeri, termasuk yang terkini di Johor dan kini di Negeri Sembilan.

“Tibalah masanya kemuncak kebenaran didedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN