KOTA BHARU: Rakyat Kelantan yang berkahwin di Thailand tidak perlu mendapatkan surat pengesahan dari Konsulat Malaysia di Shongkhla bagi memudahkan urusan pendaftaran semula pernikahan mereka di negeri ini.
Sumber pihak berkuasa agama negeri berkata, pasangan tersebut hanya perlu membawa sijil nikah dan membuat pendaftaran di pejabat agama, mahkamah dan membayar denda.
“Sebelum ini pasangan yang nikah di Thailand perlu mendapatkan surat pengesahan dari konsulat.
“Tetapi kita telah kuatkuasakan peraturan baharu iaitu tidak perlu dapatkan pengesahan dari konsulat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sumber itu berkata, ada pasangan yang bersikap sambil lewa dalam soal ini dengan tidak mendaftarkan pernikahan mereka di pejabat agama negeri dan mahkamah.
Katanya, tindakan itu menyebabkan semua urusan dokumentasi termasuk pendaftaran sijil kelahiran anak, kematian, urusan-urusan lain melibat soal harta, keluarga dan lain-lain menjadi sukar.
“Sebab itu mana-mana pasangan yang bernikah di Thailand perlu mendaftarkan semula pernikahan di negeri ini.
“Gunalah kemudahan yang disediakan ini dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan keluarga,” ujarnya.
Akhbar ini melaporkan, hampir 100,000 pasangan yang bernikah di selatan Thailand tanpa dokumen perjalanan sah sejak 1 September 2016, berisiko berdepan pelbagai implikasi undang-undang selepas Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menghentikan pemberian surat pengesahan perkahwinan.
Pengarah Urusan Firma Guaman Aniza Nazri Consultancy, Datuk Ahmad Nazri Minhat berkata, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah mengeluarkan notis berkenaan pada 1 Jun lalu bahawa, mereka tidak lagi mengeluarkan surat pengesahan perkahwinan kepada pasangan Malaysia yang bernikah di selatan Thailand tanpa menggunakan dokumen perjalanan yang sah. – UTUSAN










