Rajasekaran mohon mandat kedua DUN Sri Tanjung

Rajasekaran mohon mandat kedua DUN Sri Tanjung

G. RAJASEKARAN bertemu penduduk di sekitar DUN Sri Tanjung, Port Dickson sempena PRN Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Datuk Dr. G. Rajasekaran memohon diberikan mandat kali kedua oleh pengundi untuk meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.

Menurut beliau, tempoh ku­rang tiga tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat tidak mencukupi untuk merealisasikan sepenuhnya pelbagai perancangan yang telah dirangka demi manfaat penduduk Sri Tanjung.

Katanya, masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan yang belum sempat disempurnakan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati limpahan hasil dasar kerajaan PH Negeri Sembilan.

“Saya berharap rakyat Nege­ri Sembilan memberikan mandat yang tepat pada 1 Ogos ini kepada calon-calon PH supaya sebuah kerajaan yang kukuh dapat dibentuk sekali lagi bagi meneruskan segala agenda yang telah dirancang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau yang pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Crimea State Medical University, Ukraine berkata, beberapa usaha yang telah dirancang sebelum ini tergendala berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi memberi laluan kepada PRN.

Menurutnya, keadaan itu me­nyebabkan beberapa inisiatif yang sedang berada pada peringkat pelaksanaan juga terpaksa ditangguhkan.

“Memang kami mempunyai banyak agenda pembangunan dan kebajikan untuk rakyat yang sedang giat dirancang dan dilaksanakan termasuk hasrat membina sebuah dewan orang ramai yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk,” katanya.

G. RAJASEKARAN

Mesra disapa Dr. Raja, beliau berkata, selain memberi perhatian kepada aspek infrastruktur asas, usaha membasmi kemiskinan tegar, memperkukuh sektor pendidikan serta menangani kesesakan lalu lintas terutama pada hujung minggu dan musim cuti turut menjadi keutamaannya.

Katanya, setiap perancangan itu memerlukan kesinambungan pentadbiran supaya dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.

“Semua agenda dan perancangan ini perlu berjalan mengikut jadual. Oleh itu, kerajaan PH perlu dikekalkan di Negeri Sembilan bagi meneruskan segala agenda pembangunan dan ke­sejahteraan rakyat demi kebahagiaan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, dasar pembangunan dan kebajikan yang diperkenalkan kerajaan PH Negeri Sembilan telah membuahkan hasil positif sehingga meletakkan Port Dickson sebagai antara bandar paling bahagia di negara ini.

Menurut Naib Ketua Cabang PKR Port Dickson itu, pengiktirafan tersebut turut didorong oleh kejayaan mengeluarkan penduduk DUN Sri Tanjung daripada kategori miskin tegar selain pelbagai isu rakyat berjaya diselesaikan dengan pantas.

Sebagai contoh katanya, ma­salah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk Kampung Paya setiap kali hujan lebat kini berjaya diatasi selepas kolam takungan air di kawasan berkenaan dinaik taraf.

Tambah beliau, limpahan pelancong ke Port Dickson khususnya pada setiap hujung minggu dan musim cuti turut memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk, sama ada dalam sektor perniagaan kecil mahupun industri pelancongan.

“Semua perkembangan posi­tif ini menyumbang kepada pelbagai penilaian yang membolehkan Port Dickson beberapa kali diiktiraf sebagai antara bandar paling bahagia, sekali gus membuktikan keberkesanan dasar dan polisi kerajaan PH Negeri Sembilan,” katanya.

G. RAJASEKARAN sentisa memberi perhatian kepada aspek infrastruktur asas dan membasmi kemiskinan tegar.

Kerusi DUN Sri Tanjung menyaksikan saingan lima penjuru pada PRN Negeri Sembilan kali ini. Rajasekaran selaku penyandang akan berusaha sepenuh­nya bagi mempertahankan ke­rusi berkenaan sambil dicabar calon Barisan Nasional (BN), A. Achutan dan M. Leevineshwaraan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Turut bertanding ialah dua orang calon Bebas iaitu A. Saravanan dan Islah Wahyudi Zainudi.

Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson yang memiliki seramai 19,590 orang pengundi. Ia merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India (28.3 peratus).

Pada PRN 2023 Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi.

PROFIL CALON PH DUN SRI TANJUNG

Nama: Datuk Dr. G. Rajasekaran
Umur: 45 tahun
Pendidikan: Doktor Perubatan dari Crimea State Medical University
Kerjaya: ADUN Sri Tanjung, Doktor
Politik: Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Negeri Sembilan, Naib Ketua Cabang PKR Port Dickson. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN