KANGAR: Pusat Penyelidikan Asnaf Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merupakan satu inisiatif signifikan dalam memperkukuhkan ekosistem penyelidikan berkaitan pembangunan asnaf.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif itu bukan sahaja berperanan sebagai pusat pengumpulan data dan penghasilan ilmu, malah turut menjadi platform strategik dalam merangka penyelesaian lebih berkesan, berimpak tinggi dan berasaskan bukti dalam memperkasa golongan asnaf.
Baginda bertitah, pengurusan zakat dan pembangunan asnaf pada masa kini juga sememangnya memerlukan pendekatan lebih inovatif dan bersepadu.
“Penyelidikan berkualiti akan membantu pihak-pihak berkepentingan memahami cabaran sebenar dihadapi oleh asnaf seterusnya merangka dasar, program dan intervensi yang mampu meningkatkan taraf kehidupan secara mampan,” titah baginda bersempena perasmian Pra-Pusat Penyelidikan Asnaf PCoEE MAIPs, peluncuran buku dan penganugerahan geran penyelidikan 2026 di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penyerahan geran penyelidikan kepada institusi dan universiti juga merupakan satu langkah bertepatan bagi membolehkan lebih banyak kajian berkualiti dapat dihasilkan.
“Melalui geran ini, lebih banyak kajian berkualiti dapat dilaksanakan bagi menghasilkan dapatan yang memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan memerlukan,” titah baginda.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif FCoEE, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamaruddin Hussin berkata, penubuhan Pusat Penyelidikan Asnaf FCoEE MAIPs bukan sekadar menjadi pusat penyelidikan akademik sebaliknya berperanan sebagai pusat pemikiran, rujukan dasar dan inovasi sosial.
Katanya, FCoEE MAIPs kini sedang membangunkan Dashboard Data Analitik Asnaf yang bakal menjadi hab mengkoordinasikan data penyelidikan, profil komuniti asnaf, indikator pendidikan, pembangunan ekonomi, program intervensi, impak penyelidikan serta pelbagai data strategik lain.
“Melalui penggunaan analitik data dan teknologi kecerdasan buatan (AI), kita dapat mengenal pasti keperluan sebenar setiap kelompok asnaf, mengukur keberkesanan program serta membantu MAIPs dan agensi berkaitan membuat keputusan berdasarkan bukti, bukannya andaian semata-mata.
“Setelah pusat itu berkembang sepenuhnya, ia bukan sahaja bakal menjadi sumber rujukan utama berkaitan penyelidikan asnaf di negara ini,” katanya.-UTUSAN










