BATU GAJAH: Jabatan Penjara Malaysia terus memperkukuh agenda pemulihan penghuni menerusi pendekatan holistik yang memberi penekanan kepada pembangunan sahsiah, pendidikan, latihan kemahiran dan kerohanian bagi membolehkan mereka kembali sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab.
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar @ Che Din berkata, Pusat Koreksional Batu Gajah (PKBG) menjadi antara institusi utama dalam sistem korektif negara yang melaksanakan pelbagai program pemulihan secara menyeluruh.
Katanya, usaha itu merangkumi pendidikan akademik, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kaunseling, psikososial, keusahawanan serta pemerkasaan institusi kekeluargaan bagi memastikan proses pemulihan lebih berkesan.
“Jabatan Penjara sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang bukan sahaja menitikberatkan aspek keselamatan institusi, malah memberi fokus kepada pembentukan akhlak, perubahan sikap dan pembangunan potensi setiap penghuni.
“Kami percaya setiap insan berhak diberikan peluang kedua untuk memperbaiki kehidupan dan kembali menyumbang kepada keluarga, masyarakat serta negara,” katanya ketika mengiringi lawatan kerja Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke PKBG, di sini hari ini.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat hadir pada lawatan kerja di pusat pemulihan berimpak tinggi tersebut.
Yang turut hadir mengiringi lawatan ialah isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Aezer Zubin, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md. Salleh.
Sementara itu, Syamsul Hazeman berkata, pihaknya memperuntukkan RM396,660 sejak tahun lalu bagi melaksanakan beberapa inisiatif pembangunan insan di PKBG.
Menurut beliau, antara program utama ialah penubuhan Akademi Az-Zahra, iaitu pusat tahfiz wanita pertama di institusi koreksional negara yang menyediakan modul hafazan, tahriri dan usrah bagi memperkukuh penguasaan al-Quran serta sahsiah prospek wanita.
Katanya, MAIPk turut menaik taraf dapur dan kantin wanita sebagai pusat latihan kulinari dan keusahawanan yang memenuhi piawaian industri.
“Kerjasama strategik ini membuktikan sinergi antara institusi agama dan institusi pemulihan mampu melahirkan prospek wanita yang berilmu, berkemahiran, berdikari serta bersedia membina kehidupan baharu selepas tamat tempoh pemulihan,” katanya. – UTUSAN










