Proses kenaikan pangkat penjawat awam akan dipercepat - PM

Proses kenaikan pangkat penjawat awam akan dipercepat – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kerajaan mengarahkan proses kenaikan pangkat penjawat awam yang mengambil masa terlalu lama dipercepatkan bagi memastikan kebajikan golongan itu terus dipelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan itu dibuat selepas menerima maklum balas daripada penjawat awam bahawa terdapat kategori perkhidmatan yang terpaksa menunggu sehingga lapan tahun untuk menikmati kenaikan pangkat.

Beliau berkata, perkara tersebut dibangkitkan menerusi sesi libat urus antara Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bersama penjawat awam.

“Memang gaji sudah naik. Tetapi saya dimaklumkan bahawa bagi sesetengah kategori, kenaikan pangkat mengambil masa sehingga lapan tahun.

“Betul, saya dengar ramai mengadu perkara itu. Saya bertanya kepada KSN dan beliau memaklumkan bahawa dalam mesyuarat akan datang perkara itu akan diteliti semula.

“Mana-mana proses kenaikan pangkat yang terlalu lambat perlu dipercepatkan. Itu arahan yang telah saya berikan. Sebab itu saya fikir perkara ini perlu dilakukan kerana kita mahukan satu komitmen yang menyeluruh untuk menjayakan konsep Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah, Universiti Islam Selangor (UIS), di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Sri Shamsul Azri dan Wan Ahmad Dahlan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau sendiri mengarahkan kadar cadangan kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan lagi meskipun kerajaan berdepan kekangan kewangan dan beban hutang yang diwarisi.

Menurut beliau, KSN dan KPPA pada mulanya tidak begitu yakin cadangan kenaikan gaji itu dapat diluluskan kerana memahami kedudukan kewangan negara.

“Mereka memahami kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan. Mereka tahu tentang kekangan kita dari sudut kewangan negara dan beban hutang yang telah dilonggokkan ke atas kita. Itu semua kita terpaksa warisi.

“Tetapi apabila KSN dan KPPA mengemukakan cadangan itu, saya kata saya tidak sanggup membentangkannya. Mereka ingat saya hendak menolak. Saya kata bukan, saya tidak sanggup kerana cadangan mereka itu, bagi saya, tidak cukup tinggi. Maka akhirnya saya minta ia dinaikkan lagi,” katanya.

Anwar berkata, keputusan itu berbeza daripada amalan sebelum ini apabila cadangan kadar kenaikan gaji yang dikemukakan KPPA lazimnya akan dikurangkan di peringkat kerajaan.

“Kali ini tidak. Beliau mengemukakan cadangan dan saya pula menaikkannya lagi.

“Saya tidak mahu meminta penjawat awam bekerja lebih kuat, lebih tegas dan lebih berdisiplin, tetapi pada masa yang sama tidak mengambil peduli tentang kebajikan mereka. Itulah yang saya hendak capai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN