PRN Johor: Warga emas tetap bersemangat mengundi meski berkerusi roda - Utusan Malaysia

PRN Johor: Warga emas tetap bersemangat mengundi meski berkerusi roda

Dari kiri: Lailah Hussien, Lim Kah Heng dan Abu Bakar Othman selepas mengundi di pusat mengundi SK Taman Rinting 1, Taman Rinting, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga warga emas membuktikan faktor usia dan fizikal bukan alasan untuk tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Ketiga-tiga warga emas terbabit membuktikan semangat demokrasi masih menebal dalam diri mereka apabila sanggup berkerusi roda dan hadir seawal pagi bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Lim Kah Heng, 73, berkata, setiap undi amat berharga dalam menentukan masa depan Johor, justeru beliau tidak pernah gagal keluar mengundi setiap kali pilihan raya diadakan.

“Saya datang awal supaya tidak perlu beratur lama. Walaupun usia semakin meningkat, saya tetap mahu menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya ditemui di pusat mengundi Sekolah Rendah (SK) Taman Rinting 1, Masai di sini, hari ini.

Sementara itu, Lailah Hussien, 80, memberitahu, dia tetap bersemangat untuk mengundi dan keterujaan itu tidak pernah luntur meskipun pergerakannya tidak lagi selincah dahulu kerana berkerusi roda.

Dia percaya setiap rakyat mempunyai tanggungjawab memilih pemimpin yang mampu membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada negeri ini.

“Selagi masih diberi kesihatan, saya akan terus keluar mengundi. Ini amanah kita sebagai rakyat,” katanya.

Abu Bakar Othman, 72, pula berkata, dia sanggup datang awal mengambil kira faktor cuaca selain mahu memberi contoh kepada generasi muda supaya tidak memandang ringan tanggungjawab mengundi.

Katanya, golongan muda perlu memanfaatkan hak mereka kerana setiap undi mampu menentukan hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Hari ini, lebih 2.7 juta pengundi berdaftar layak mengundi bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu yang akan membentuk kerajaan negeri Johor bagi penggal akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN