PRN Johor: Trafik di Tambak Johor, LinKedua, laluan utama lancar

PRN Johor: Trafik di Tambak Johor, LinKedua, laluan utama lancar

Tinjauan di Tol Skudai menunjukkan aliran Trafik dalam keadaan baik
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Aliran trafik di pintu masuk laluan darat di sempadan negara pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berjalan lancar walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan dari Singapura.

Tinjauan di Plaza Tol Skudai mendapati, aliran trafik menuju ke negeri serta pusat Bandar Johor Bahru tidak mengalami kesesakan luar biasa susulan kepulangan pengundi dari luar negeri.

Di Tambak Johor, keadaan pergerakan kenderaan yang bergerak dari Singapura ke Johor Bahru melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjalan lancar sejak awal pagi tadi

Manakala di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) menerusi Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), aliran trafik turut terkawal dengan perjalanan kenderaan bergerak secara konsisten tanpa gangguan ketara.

Ramai rakyat Johor yang bermastautin di Republik itu dilihat merentasi sempadan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi bagi memilih kerajaan negeri yang baharu.

Para pengundi dilihat merancang perjalanan dengan baik dan memilih waktu perjalanan yang sesuai bagi mengelakkan kesesakan, selain mengambil kira jangkaan peningkatan jumlah kenderaan sepanjang hujung minggu dan hari pengundian.

Sebelum ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan lebih 300,000 pengundi luar Johor pulang bagi menunaikan tanggungjawab pada PRN kali ini, sekali gus menyumbang kepada peningkatan aliran trafik di rangkaian lebuh raya utama negeri ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor yang menyaksikan rakyat negeri ini memilih wakil rakyat bagi membentuk kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN