PRN Johor: Sen Sern mahu penduduk terima limpahan ekonomi - Utusan Malaysia

PRN Johor: Sen Sern mahu penduduk terima limpahan ekonomi

Arthur Chiong Sen Sern
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern mahu pastikan penduduk setempat menerima limpahan ekonomi hasil pelaburan asing ke daerah itu.

Penyandang kerusi DUN Bukit Batu itu berkata, pelaburan yang dibawa masuk ke daerah tersebut serta pembangunan yang dilaksanakan perlu dinikmati masyarakat sekeliling.

“Kita akan kekalkan hak-hak rakyat supaya mereka dapat merasai kesan pelaburan yang dibawa masuk ke daerah ini.

“Sebagai salah satu contoh, mereka akan dapat peluang kerja dan tidak perlu pergi jauh-jauh,” katanya mengulas mengenai pembangunan yang sedang dan akan dibuat di Bukit Batu.

Sen Sern berkata, dalam tempoh empat tahun ini, pelbagai pembangunan dapat dilihat di daerah itu antaranya banyak kilang beroperasi selain sektor perniagaan semakin rancak.

Katanya, beliau juga dapat menyelesaikan beberapa masalah seperti kesesakan di kawasan bulatan dan selekoh yang berlarutan sejak sekian lama.

“Saya dan jentera kempen pilihan raya akan terus giat mendekati rakyat setempat khususnya golongan muda untuk mendengar pandangan dan isi hati mereka.

“Saya juga akan lakukan lawatan (walkabout) di semua taman dan kampung untuk bertemu penduduk setempat dari setiap lapisan umur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN