PASIR SALAK: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam membuktikan parti itu mampu bertanding solo dalam pilihan raya.
Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu pucuk pimpinan parti perlu mempertimbangkan perkara itu pada PRN Negeri Sembilan bulan depan.
“Saya setuju formula bertanding solo agak berbeza pada PRN Johor dan Negeri Sembilan. Namun kemenangan BN di Johor menunjukkan BN ada kekuatan untuk bertanding solo dan BN harus tidak takut atau gentar untuk bertanding solo jika itu keputusannya.
“PRN Johor kita membuktikan kita mempunyai kemampuan untuk bertanding solo tanpa terpaksa bekerjasama dengan mana mana gabungan atau parti yang lain,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.
BN memperoleh 48 kerusi dan PH menang lapan kerusi dalam PRN semalam.
Beliau percaya pucuk pimpinan parti akan buat keputusan yang terbaik untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan, sama ada BN bertanding solo atau bekerjasama dengan parti lain.
“Ini satu perkara yang pucuk pimpinan wajar kaji terutama dalam tempoh seminggu sebelum penamaan calon (PRN Negeri Sembilan).
“Saya yakin pucuk pimpinan sedang mengkaji apakah formula yang terbaik untuk Negeri Sembilan sama ada kita bertanding solo atau mungkin ada kerjasama dengan pihak-pihak tertentu,” katanya.
Mengenai pengundi Cina, Khairy berkata, walaupun PH hanya menang lapan kerusi DUN di Johor, pengundi Cina masih tidak begitu menyokong BN.
“Peralihan pengundi India kepada BN sangat ketara tetapi pengundi Cina tidak berapa nak menyokong BN. Namun itu sudah dijangkakan bahawa mereka akan terus memberi sokongan kepada DAP,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Khairy mengingatkan BN agar tidak sombong dengan kemenangan besar semalam atau mereka akan dihukum oleh rakyat seperti mana PH disebabkan pemimpin parti itu lupa diri apabila mendapat kuasa.
“Kekalahan PH sebab rakyat hukum PH, sebab PH lupa diri apabila dapat jawatan, dapat jadi menteri, tak tunai janji. Dulu janji bulan dan bintang tapi tak dapat tunaikan, jadi rakyat akan hukum.
“Ini (BN) kena ingat. Terimalah kemenangan semalam dengan hati yang terbuka, dengan rendah diri, jangan besar kepala, jangan bongkak, jangan sombong dengan kemenangan semalam sebab apa yang Tuhan beri boleh dicabut pada bila bila masa,” katanya. – UTUSAN










