KUALA LUMPUR: Pentadbir Pencen Swasta Malaysia (PPA) melakar sejarah apabila memperkenalkan Hari Skim Persaraan Swasta (PRS), sebuah inisiatif awam pertama di Malaysia yang memberi penekanan kepada perancangan persaraan, literasi kewangan serta pembinaan kesejahteraan kewangan untuk jangka panjang.
PPA ialah pentadbir pusat bagi PRS yang dikawal selia Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan peranan menyelaras pentadbiran skim itu, mengurus rekod ahli, memudah cara urusan transaksi antara Penyedia PRS selain menyokong pembangunan simpanan persaraan secara sukarela di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, penganjuran Hari PRS bertujuan mengubah tanggapan masyarakat bahawa perancangan persaraan hanya perlu diberi perhatian apabila seseorang menghampiri usia persaraan.
Menurut beliau, program itu menghimpunkan kesemua tujuh Penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) bersama sebuah Pengedar PRS di bawah satu bumbung bagi memudahkan orang ramai membuat perbandingan, mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar serta memahami manfaat PRS dalam membantu mencapai matlamat kewangan masa depan.
Beliau berkata, Hari PRS yang membawa tema “Nak Senang Bila Bersara! Jom PRS!” akan berlangsung pada 11 dan 12 Julai ini, bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam di Ground Floor Flash Retail Area, MyTOWN Shopping Centre, Kuala Lumpur.
Program yang terbuka kepada orang ramai tanpa sebarang bayaran itu menawarkan pelbagai pengisian menarik seperti sesi perkongsian bersama pakar, pemeriksaan kesihatan percuma, kopi percuma, hadiah eksklusif, aktiviti pentas serta peluang mendapatkan khidmat nasihat secara terus daripada tujuh Penyedia PRS dan sebuah Pengedar PRS.
Penganjuran Hari PRS turut mendapat sokongan MyTOWN Shopping Centre sebagai rakan lokasi yang menyediakan ruang bagi mendekatkan pendidikan kewangan dan perancangan persaraan kepada masyarakat menerusi suasana yang lebih santai, mudah diakses serta mesra keluarga.
“Tidak seperti pameran biasa, Hari PRS menjadi titik permulaan kepada usaha berskala nasional untuk membudayakan persediaan persaraan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Taufiq berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen PPA untuk memastikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, difahami serta relevan kepada semua lapisan masyarakat.
“Kami mahu menjadikan perancangan persaraan lebih mudah diakses, mudah difahami dan relevan kepada rakyat Malaysia pada setiap peringkat kehidupan, daripada golongan profesional muda yang baru memulakan kerjaya, keluarga yang sedang merancang masa depan kewangan hinggalah individu yang membuat persiapan persaraan,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 31 Disember 2025, PRS mempunyai seramai 671,736 ahli dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah RM8.8 bilion, manakala jumlah caruman yang diterima sepanjang tahun lalu menghampiri RM1 bilion.
Katanya, perkembangan itu membuktikan tahap keyakinan masyarakat terhadap PRS sebagai pelengkap simpanan persaraan semakin meningkat, namun usaha meningkatkan kesedaran awam masih perlu diperkasakan.
“Walaupun kesedaran semakin meningkat, ramai rakyat Malaysia masih menangguhkan perancangan persaraan kerana komitmen kewangan semasa atau beranggapan persaraan masih terlalu jauh.
“Dengan peningkatan kos sara hidup dan jangka hayat yang lebih panjang, keperluan membina simpanan persaraan yang mampan kini menjadi semakin penting,” katanya.
Sepanjang dua hari program berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk sesi konsultasi perancangan persaraan dan kewangan, membuka akaun PRS di lokasi acara serta berinteraksi secara langsung dengan pakar industri.
Selain itu, orang ramai juga boleh menyertai bengkel literasi kewangan, menjalani pemeriksaan kesihatan percuma, menikmati kopi percuma, mengambil bahagian dalam aktiviti pentas interaktif, cabutan bertuah, Spin & Win serta menikmati pelbagai promosi dan hadiah eksklusif.
Seramai kira-kira 5,000 pengunjung dijangka memeriahkan Hari PRS sepanjang dua hari penganjurannya. – UTUSAN










