PETALING JAYA: Sabah berpotensi menjadi hab serantau dan makmal inovasi serta pelaburan berimpak tinggi untuk pembangunan mampan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, usaha tersebut mampu mengukuhkan kedudukan Sabah sebagai gerbang menghubungkan global dengan peluang pembangunan mampan berimpak tinggi di rantau Asia-Pasifik
Malah katanya, kerajaan negeri juga dapat memperkukuh kerjasama serantau, menggerakkan pelaburan berskala besar dan memacu agenda pembangunan terutama menerusi penganjuran Sidang Kemuncak Pelaburan Berimpak Asia-Pasifik bagi Pembangunan Mampan Sabah 2026 (Sabah AIMS 2026).
“Saya berharap, Sabah AIMS 2026 menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau lebih erat serta menggerakkan lebih banyak pelaburan berimpak yang mampu menjana kemakmuran ekonomi.
“Diharap ia juga dapat memelihara warisan alam semula jadi demi kesejahteraan generasi masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabah AIMS 2026 disertai lebih 300 peserta dari pelbagai negara termasuk Australia, Afrika Selatan, Perancis, Jerman, Britain serta Amerika Syarikat (AS).
Penganjuran Sabah AIMS 2026 memberi tumpuan kepada pendekatan praktikal bagi menggerakkan modal ke arah inisiatif sosial dan alam sekitar berimpak tinggi.
Arthur berkata, ekosistem kewangan perlu beralih ke arah pelaburan berimpak tinggi bagi menarik penyertaan modal swasta untuk menjana pulangan kewangan kompetitif, di samping menghasilkan impak sosial dan alam sekitar positif.
“Pembiayaan awam tradisional serta geran daripada institusi filantropi sahaja tidak lagi mencukupi untuk merapatkan jurang pembiayaan yang diperlukan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan sasaran pelepasan bersih sifar negara.
“Justeru, pendekatan baharu yang mampu menggerakkan sumber pembiayaan secara lebih mampan perlu diperkasakan (termasuk menerusi usaha ini). Pendekatan ini antara pemangkin penting dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah pembangunan mampan dan ekonomi rendah karbon,” katanya. – UTUSAN










