Polis tahan mangsa culik, disyaki terlibat sindiket dadah

Polis tahan mangsa culik, disyaki terlibat sindiket dadah

M. Kumar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Individu yang menjadi mangsa penculikan melibatkan tuntutan wang tebusan RM7 juta baru-baru ini, ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya, Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 selepas siasatan polis mendapati wujud unsur penglibatan dengan sindiket pengedaran dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan tersebut diambil susulan hasil siasatan yang dijalankan JSJ dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Menurutnya, siasatan mendapati terdapat elemen berkaitan rangkaian pengedaran dadah dalam kes berkenaan, sekali gus membawa kepada tindakan lanjut terhadap individu terbabit mengikut peruntukan undang-undang.

“JSJN Bukit Aman telah membuat tangkapan di bawah LLPK ke atas mangsa dalam kes culik ini.

“Kita percaya penglibatan sindiket pengedaran dadah dalam kes culik ini. Siasatan masih diteruskan,” katanya pada sidang akhbar Pengarah JSJ di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Subang Jaya hari ini.

Tambah Kumar, mangsa ditahan semalam di sebuah lokasi di Selangor oleh Polis Kontinjen Selangor bagi tujuan membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

Katanya, setakat ini polis masih belum dapat mengesahkan pekerjaan tetap lelaki terbabit berdasarkan semakan rekod perkhidmatan serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Lelaki berusia 44 tahun itu turut disahkan positif dadah hasil ujian saringan air kencing ketika ditahan pada peringkat awal, selain mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes penipuan jenayah komersial.

“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar penculikan termasuk kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan wang hasil aktiviti pengedaran dadah.

“Kita juga sedang meneliti aspek pemilikan harta mangsa dan proses itu memerlukan masa. Siasatan terhadap kes ini masih berjalan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, polis turut menahan dua lagi lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian penculikan berkenaan semalam, dengan masing-masing berusia sekitar 30-an.

Katanya, seorang daripada suspek terbaharu itu merupakan bekas anggota polis yang telah diberhentikan daripada perkhidmatan pada 2023 selepas terlibat kesalahan berkaitan dadah.

“Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan meningkat kepada lapan orang membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

“Kedua-dua suspek terbaharu kini direman selama 10 hari bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut,” katanya.

Selain itu, semakan awal mendapati sebahagian daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan kesalahan dadah serta jenayah kekerasan, namun tiada seorang pun mempunyai rekod lampau melibatkan kes penculikan.

“Kita masih mengesan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

“Saya percaya beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sebelum ini, seorang wanita berusia 46 tahun membuat laporan pada jam 1.30 pagi, 17 Julai lalu selepas suaminya diculik dan suspek menuntut wang tebusan RM7 juta.

Mangsa diselamatkan kira-kira jam 1 pagi keesokannya di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, dekat sini, dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian dilaporkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN