PETALING JAYA: Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki diserang menggunakan senjata tajam ketika beratur menunggu bas di perhentian berhampiran sebuah universiti di Wangsa Maju seperti yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, laporan polis dibuat oleh mangsa.
“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum ada tangkapan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular kejadian seorang lelaki diserang dengan senjata tajam di sebuah perhentian bas.
Video itu memaparkan lelaki berpakaian hitam memegang senjata tajam tiba-tiba menyerang lelaki berpakaian putih berulang kali sambil menendang.-UTUSAN










