Polis pastikan sekolah bebas pengaruh gangsterisme

Polis pastikan sekolah bebas pengaruh gangsterisme

Fadil Marsus ketika beramah mesra bersama pelajar pada majlis peluncuran “PDRM dan Murid Berpisah Tiada” Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin di SK La Salle 2 Jinjang di sini, semalam.-UTUSAN/ SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan memastikan tiada sebarang kegiatan gangsterisme yang cuba menyusup masuk atau mempengaruhi pelajar sekolah bagi mengelakkan golongan itu terjebak dengan jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelbagai kes membabitkan pelajar direkodkan, termasuk dalam kalangan murid sekolah rendah dengan majoritinya melibatkan kesalahan disiplin.

“lni adalah keutamaan kita untuk memastikan isu gangsterisme ini tidak ada dan kita tidak benarkan mendekati sekolah.

“Daripada seawal-awalnya sekolah rendah kita akan pastikan tiada masalah ini berlaku,” katanya ketika ditemui selepas program Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Murid Berpisah Tiada, Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin di SK La Salle 2, Jinjang, di sini semalam.

Mengulas mengenai tindakan pempengaruh yang menggunakan pelajar sekolah sebagai kandungan bagi mempromosikan aktiviti jual beli rokok, Fadil berkata, perbuatan sedemikian sememangnya berlaku apabila terdapat pihak yang sanggup menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik perhatian golongan berkenaan.

“Inilah antara yang kita fokuskan dan cuba cegah seawal-awalnya di peringkat sekolah rendah. Jadi, program seperti ini akan berterusan dan digerakan dari semasa ke semasa supaya ada keberkesanan yang positif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Kuala Lumpur, Megat Affandi Ismail berkata, Kementerian Pendidikan melalui pihak sekolah turut memperkukuhkan usaha menangani isu disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar dengan menyediakan sokongan kaunseling kepada yang dikenal pasti berdepan masalah.

Beliau berkata, setiap kes akan dirujuk kepada guru kaunselor yang berkemahiran bagi menjalankan penilaian psikometrik dan saringan kesihatan mental sebelum ibu bapa diberi panduan mengenai kaedah terbaik untuk membantu anak masing-masing.

“Kita sedang mempergiat usaha menggalakkan ibu bapa hadir ke sekolah supaya mereka turut terlibat dalam proses intervensi.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama erat dengan PDRM, kita melihat peningkatan kehadiran pelajar di sekolah-sekolah di Kuala Lumpur, manakala kes jenayah membabitkan pelajar pula menunjukkan penurunan,” jelasnya.

Katanya, kerjasama strategik antara pihak sekolah, ibu bapa dan polis turut menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik pelajar termasuk dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ujarnya, kejayaan itu turut terserlah apabila Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan Kem Remaja MADANI yang dianjurkan baru-baru ini hasil kerjasama dengan PDRM menerusi aktiviti kawad kaki dan perkhemahan.

“Komitmen dalam bidang pendidikan tidak akan berjaya tanpa kerjasama semua pihak. Saya mewakili Jabatan merakamkan penghargaan kepada PDRM yang sentiasa memberi sokongan kepada sektor pendidikan.

“Kita yakin dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan semua agensi berkaitan, Kuala Lumpur mampu menjadi antara institusi pendidikan terbaik di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN