GERIK: Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun membabitkan seorang wanita warga emas di sebuah rumah di Kampung Baru Selat Pagar, Lenggong, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.10 pagi ketika mangsa berusia 80-an itu tinggal bersendirian di rumahnya.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memasuki rumah mangsa dengan mengumpil pintu sebelum seorang daripada mereka bertindak menolak dan menendang mangsa.
“Mangsa juga telah diugut menggunakan batang besi. Suspek mengambil beberapa barangan milik mangsa sebelum meloloskan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta berwarna gelap dengan nombor pendaftaran VMG 8433 yang dipercayai palsu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.
“Usaha mengesan kedua-dua suspek sedang giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.-UTUSAN










