Polis buka satu kertas siasatan kes sogok pilihan raya

Polis buka satu kertas siasatan kes sogok pilihan raya

ALZAFNY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis membuka satu kertas siasatan berhubung dakwaan kesalahan penyogokan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana melakukan kesalahan penyogokan.

Beliau berkata, setakat semalam, pihaknya menerima sembilan laporan polis dan membuka dua lagi kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

“Satu lagi kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan kandungan berunsur hasutan serta maklumat berkaitan pilihan raya menerusi media sosial yang boleh mengganggu ketenteraman awam.

“Selain itu, satu kertas siasatan turut dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kehilangan atau kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alzafny berkata, secara kumulatif polis menerima 62 laporan berkaitan kesalahan PRN dan membuka 19 kertas siasatan sepanjang tempoh berkempen setakat semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pada hari sama, pihaknya juga meluluskan kesemua 76 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik selepas memenuhi syarat ditetapkan.

“Secara kumulatif bagi tempoh 18 hingga 28 Julai, sebanyak 638 permohonan permit diterima dengan 612 daripadanya diluluskan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN