KUANTAN: Penggunaan plastik masih dianggap pilihan yang lebih praktikal buat syarikat kurier kerana lebih kalis air, ringan dan mampu melindungi barangan dengan lebih baik sepanjang proses penghantaran.
Pengurus Syarikat Penghantaran Ekspress Postcode, Abd. Shukur Mohamed berkata, penggunaan plastik juga perlu bagi melindungi barangan walaupun barangan mesra alam.
“Pembungkusan plastik lebih sesuai kerana mampu melindungi barangan yang dihantar daripada air, kelembapan dan kerosakan ketika proses penghantaran dilakukan.
“Jika hanya menggunakan kertas, banyak barangan terutama yang mudah rosak atau sensitif tidak akan mendapat perlindungan yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan, trend pembelian dalam talian yang semakin menjadi budaya masyarakat mencetuskan ancaman baharu alam sekitar, apabila jutaan plastik kurier dibuang setiap hari dan berpotensi menjadi ‘bom jangka’ ekologi negara.
Susulan itu, Pensyarah Bidang Penyelidikan Oseanografi Kimia dari Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Che Abd. Rahim Mohamed dilaporkan menggesa kerajaan memperkenal levi khas terhadap penggunaan plastik kurier bagi mengekang pencemaran alam sekitar yang semakin meruncing akibat ledakan sektor e-dagang.
Langkah itu katanya, penting kerana jutaan plastik kurier, balutan buih dan pita pelekat dibuang setiap hari tanpa nilai kitar semula.
Abd. Shukur berkata, beliau tidak bersetuju jika levi khas dikenakan terhadap penggunaan plastik kurier.
“Sebelum ini kami tidak pernah mengenakan caj tambahan untuk penggunaan plastik biasa. Namun, jika pelanggan memerlukan penggunaan plastik yang banyak atau pembungkusan tambahan, kami mengenakan sedikit caj.
“Setakat ini pelanggan tidak mempunyai masalah untuk membayarnya kerana mereka lebih mementingkan keselamatan barangan yang dihantar. Sekiranya levi khas itu dilaksanakan, sudah tentu kos operasi meningkat,” katanya.
Menurutnya, kemungkinan besar ia memberikan kesan kepada kos penghantaran atau caj yang perlu ditanggung pelanggan. – UTUSAN










