KULIM: Seorang penduduk tidak dapat menahan perasaan pilu apabila membantu mengangkat jasad seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditemukan tersangkut pada batu selepas dihanyutkan fenomena kepala air di Sungai Sedim di sini, semalam.
Kamal Rizal Mat Isa, 53, berkata, dia bersama beberapa penduduk lain berada di kawasan hilir sungai selepas menerima maklumat terdapat mangsa dihanyutkan arus deras dari kawasan hulu.
“Kami terima panggilan daripada orang ramai di kawasan atas sungai yang memaklumkan ada mangsa dihanyutkan arus. Jadi kami terus menunggu di bahagian bawah sungai untuk membantu.
“Tidak lama selepas itu, kami nampak seorang kanak-kanak tersangkut pada batu. Kami bersama-sama mengangkat mangsa ke tebing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.
Menurut Kamal Rizal, mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras sejauh lebih satu kilometer sebelum ditemukan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, kejadian itu mengejutkan kerana cuaca di kawasan hilir sungai ketika itu kelihatan baik dan tidak hujan, namun hujan lebat dipercayai berlaku di kawasan hulu sehingga menyebabkan kepala air turun secara tiba-tiba.
“Kebiasaannya jika penduduk di kawasan atas nampak tanda-tanda kepala air, mereka akan memaklumkan kepada orang di bawah supaya bersedia. Kali ini semuanya berlaku terlalu pantas,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan aktiviti mandi-manda atau beriadah di sungai ketika cuaca tidak menentu.
“Fenomena kepala air boleh berlaku walaupun kawasan berhampiran tidak menerima hujan. Jika nampak air mula deras atau cuaca berubah, segera naik ke darat dan jangan ambil risiko,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan tiga individu maut selepas dihanyutkan fenomena kepala air di Sungai Sedim. Mangsa yang terkorban ialah Nur Atikah Abdullah, 28; Muhammad Aariz Daniel Md. Radzi, 3; dan Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12. – UTUSAN










