PORT DICKSON: Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang akan dilancarkan malam ini akan tampil dengan pelbagai inisiatif untuk pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, PH mahu supaya manifesto yang ditawarkan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini akan memberi manfaat kepada semua golongan.
Insya-Allah dia bukan hanya kepada golongan B40 sahaja, kita akan besarkan penerima kepada M40. Kami mahu supaya lebih ramai rakyat akan menerima manfaat daripada program dan inisiatif yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Majlis pelancaran manifesto PH Negeri Sembilan dijadual dilancarkan malam ini yang turut akan dihadiri oleh beberapa pemimpin utama parti itu.
Aminuddin sementara itu berkata, banyak inisiatif yang diberikan kerajaan negeri sebelum ini juga akan dikekalkan dalam tawaran manifesto tersebut.
“Banyak yang kami teruskan, kami mendapat maklumat inisiatif sebelum ini telah memberi manfaat yang besar kepada penduduk di Negeri Sembilan.
“Ada tambahan inisiatif tetapi lebih penting kami tidak mahu ia hanya terikat kepada golongan B40 sahaja,” katanya. – UTUSAN










