PH fokus manifesto, tidak layan kempen fitnah - Aminuddin

PH fokus manifesto, tidak layan kempen fitnah – Aminuddin

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar di Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) tidak akan melayan serangan politik atau dakwaan berunsur fitnah sepanjang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, gabungan itu akan menumpukan sepenuhnya terhadap usaha menjelaskan manifesto serta tawaran kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, sudah menjadi kelaziman setiap kali musim pilihan raya dakwaan demi dakwaan dilemparkan terhadapnya termasuk menjadi ‘boneka DAP’.

“Serangan itu tidak memberi kesan kepada kami. Apa yang kami tawarkan kepada rakyat sudah diterjemahkan menerusi manifesto.

“Itulah yang lebih penting daripada melayan andaian dan fitnah yang dimainkan pihak lawan,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan memaklumkan keperluan untuk mengadakan sesi debat atau dialog dengan mana-mana pihak sudah agak terlewat.

Beliau yang juga calon PH di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkata, tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap usaha melaksanakan strategi akhir menjelang hari pengundian pada 1 Ogos ini.

“Saya rasa waktu itu agak suntuk, sepatutnya lebih awal kalau ingin berdebat, bukan di penghujung. Kerana kita perlu memberi strategi akhir kepada calon-calon yang sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihan raya.

“Kita tidak ada masa yang lama, hujung minggu ini pula tempoh penting untuk kita pastikan gerak kerja kempen kita. Kita ada strategi akhir yang perlu kita kekalkan,” katanya.

Aminuddin berkata, tempoh masa kempen yang masih berbaki perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap calon bertanding untuk bertemu seramai mungkin pengundi.

“Bagi saya, apabila kita berjumpa secara terus pengundi, ada permasalahan-permasalahan kecil yang kita boleh selesaikan bersama.

“Kita dengar dan insya-Allah, kita selesaikan permasalahan di bawah, bukan sahaja di DUN Linggi, tetapi di seluruh Negeri Sembilan.

“Sebab itu kita minta semua calon PH pada PRN Negeri Sembilan ini ambil perhatian tentang aduan-aduan dan permasalahan-permasalahan setempat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN