PASIR SALAK: Seorang pesara tentera, Mat Bunor @ Mohamed Nadzri Buyong, 73, terlantar sejak tujuh tahun lalu akibat masalah saraf dan tulang tunjang kronik.
Isterinya, Salsiah Maidi, 66, berkata, masalah tersebut menjejaskan keupayaan suaminya untuk makan, minum dan tidak dapat bertutur dengan baik.
Menurutnya, suaminya menggunakan lampin pakai buang selain pergerakan terbatas malah terpaksa dibantu untuk menggunakan kerusi roda.
“Akibat masalah saraf dan tulang, suami bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk pergerakan harian yang perlu dibantu.
“Sebelum sakit suami aktif ke surau dan masjid serta menjadi ahli jawatankuasa surau. Dia rindu untuk ke surau tetapi apakan daya untuk bangun pun tidak boleh, perlu dibantu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Mohd Nazari Sabran dan Ketua Cawangan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Sungai Manik, Mohamad Nor Tuajin menziarahi Mat Bunor di rumahnya di Taman Mawar, di Langkap di sini baru-baru ini.
Mohd. Nazari berkata, dalam ziarah tersebut, UMNO bahagian dan PVATM memberikan sumbangan yang diperlukan kepada Mat Bunor.
Menurutnya, antara yang disumbangkan termasuk susu, lampin pakai buang dan bantuan kewangan untuk kos rawatan susulan hospital.
Katanya, sumbangan itu diharap dapat meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh veteran tentera itu.
“Kami sentiasa membantu bekas anggota tentera yang terlantar akibat sakit kronik dan tiada sumber pendapatan.
“Mereka berjasa kepada agama dan negara, kami sedaya upaya membantu,” katanya.
Menurutnya, ziarah seumpama itu bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan tetapi dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat.
“UMNO menggerakkan usaha membantu dan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan selain menyelesaikan isu yang dihadapi masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.-UTUSAN










