PUTRAJAYA: Pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan akibat kemalangan jalan raya akan diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau waris menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jemaah Menteri secara dasar bersetuju mewujudkan mekanisme baharu itu sebagai hukuman tambahan, selain penjara, denda dan hilang kelayakan memandu bagi memastikan pesalah bertanggungjawab terhadap kesan perbuatan mereka.
Katanya, menerusi pindaan undang-undang yang sedang diperincikan, mahkamah akan diberi kuasa menganugerahkan pampasan kepada mangsa atau waris jika pesalah didapati bersalah.
“Ketika ini pesalah yang disabitkan kesalahan hanya dikenakan hukuman sedia ada tanpa sebarang mekanisme pampasan kepada mangsa atau keluarga.
“Cadangan ini meliputi kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, memandu secara melulu dan kesalahan lain yang menyebabkan nahas jalan raya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk pengamal undang-undang mencadangkan supaya pesalah yang menyebabkan kematian atau kecederaan diwajibkan membayar pampasan kepada mangsa atau waris susulan peningkatan kes kemalangan sejak kebelakangan.
Malaysia ketika ini masih tidak mempunyai mekanisme pampasan khusus bagi mangsa kemalangan jalan raya sama ada melibatkan alkohol atau dadah.
Siew Fook berkata, jumlah pampasan tidak ditetapkan secara automatik atau secara pentadbiran oleh kerajaan, sebaliknya ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
“Mekanisme pampasan itu juga tidak akan menjejaskan hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil melalui saluran perundangan sedia ada.
“Cadangan ini diwujudkan bagi membantu mangsa mendapatkan keadilan tanpa perlu melalui proses tuntutan sivil yang lazimnya mengambil masa panjang dan melibatkan kos guaman yang tinggi,” katanya.
Menurut Siew Fook, pihaknya akan mengambil pendekatan berhati-hati dalam merangka rang undang-undang berkenaan memandangkan pindaan itu bakal memberi kesan jangka panjang terhadap sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara.
Katanya, selepas sesi libat urus dan draf pindaan diluluskan Kabinet dan melalui bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat, beliau akan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi meneliti rang undang-undang itu secara lebih terperinci.
“Tujuannya supaya rang undang-undang ini mendapat sokongan merentasi parti dan semua pihak berkepentingan yang mempunyai kepakaran dapat memberikan pandangan serta syor penambahbaikan.
“Kita mahu menghasilkan satu kerangka perundangan yang jelas, boleh dilaksanakan dan berkesan dalam memberikan keadilan kepada mangsa serta meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya.
Katanya, rang undang-undang tersebut dijangka dibentangkan dalam Sidang Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2027 dan tertakluk kepada penyempurnaan proses libat urus dan penyediaan draf pindaan.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, Kabinet turut bersetuju secara dasar untuk memperkukuh Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) sebagai mekanisme mengenal pasti dan mengawal pemandu berisiko tinggi serta pesalah berulang.
“Penambahbaikan dicadangkan termasuklah tatacara pemakluman mata demerit yang lebih jelas, mekanisme representasi dan semakan pentadbiran serta pelarasan atau penghapusan mata demerit sekiranya sesuatu kesalahan tidak dibuktikan atau tiada sabitan dikenakan,” katanya.-UTUSAN










