JEMPOL: Isu pokok kelapa sawit yang sudah tua di kawasan Felda perlu diberi perhatian menerusi usaha penanaman semula bagi memastikan pendapatan peneroka dapat dipertingkatkan pada masa akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sebarang janji dalam pilihan raya tidak seharusnya dibuat sekiranya pihak berkenaan sendiri tidak mengetahui masalah sebenar yang dihadapi rakyat.
Katanya, beliau melihat terdapat banyak pokok kelapa sawit di kawasan Felda yang sudah berusia dan memerlukan proses penanaman semula.
“Saya tak nak dalam pilihan raya ini, janji-janji yang kita buat ini, kalau kita sendiri tak tahu apa masalah dia, susah.
“Tetapi yang saya tahu dalam ini, kawasan Felda ini banyak pokok-pokok kelapa sawit. Saya lalu tadi, saya nampak ada banyak pokok-pokok kelapa sawit ini yang ada yang sudah tua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bilik Gerakan Cawangan Felda Palong 3, Jempol, hari ini.
Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Palong, Datuk Mustapha Nagoor.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, pendapatan dalam ladang kelapa sawit memerlukan proses penanaman semula secara berterusan.
“Jadi income (pendapatan) kita dalam ladang kelapa sawit ini, dia memerlukan tanam semula.
“Dulu masa BN memerintah, banyaklah tanam semula (sawit) kita buat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri yang dipilih selepas Pilhan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ink perlu membawa isu berkaitan ladang yang terdapat di negeri itu khususnya melibatkan pokok kelapa sawit yang sudah tua.
“Kalau boleh, siapa-siapa yang dapat memerintah kerajaan Negeri Sembilan ini, kena bawa isu-isu ladang yang ada di Negeri Sembilan ini, kalau mana kita punya peneroka yang ada pokok lama-lama, kita kena mulakan balik semula.
“Macam mana kita boleh bantu untuk tanam semula. Kerana tanam semula ini, akhirnya akan memberi pendapatan pada masa akan datang yang berpanjangan kepada peneroka dan meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.-UTUSAN










