‘Perjalanan ini hampir merampas masa, nama baik dan masa depan’

‘Perjalanan ini hampir merampas masa, nama baik dan masa depan’

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) bergambar bersama ibu bapanya serta Bella Astilah. FACEBOOK SYED SADDIQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui perjalanan kes mahkamahnya yang panjang sehingga lebih enam tahun hampir merampas banyak perkara dalam hidupnya termasuk masa, nama baik dan masa depannya.

Beliau berkata, dia boleh memilih ‘jalan mudah’ namun tetapi tindakannya mahu meneruskan kes melalui proses perundangan adalah kerana rasa cinta yang mendalam terhadap negara.

Katanya, perjalanan yang dilaluinya itu mengajarnya bahawa kuasa dan jawatan yang ada itu hanya sementara sebaliknya prinsip, maruah serta khidmat yang akan tinggalkan kepada generasi seterusnya.

“Saya melawan bukan kerana membenci sesiapa tetapi kerana terlalu cintakan Malaysia.

“Sepanjang tempoh lebih enam tahun mengharungi proses perundangan itu, saya tidak pernah melarikan diri, menangguhkan kes atau menuntut sebarang layanan istimewa.

“Mengapa? Kerana saya percaya Malaysia mesti dipimpin oleh mereka yang sanggup kehilangan kedudukan demi prinsip, bukan menjual prinsip demi kedudukan.

“Saya boleh memilih jalan yang lebih mudah. Saya boleh berdiam diri, boleh tunduk. Tetapi kalau kita sendiri menyerah ketika diuji, bagaimana kita mahu meminta rakyat terus percaya kepada negara ini,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.

Syed Saddiq berkata, fokusnya kini kembali kepada tugas hakiki dan perjuangan demi negara.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas keputusan kesnya itu dan menyifatkan ia bukan sekadar mengenai kebebasan dirinya tetapi kemenangan kepada satu prinsip bahawa kebenaran mesti dipertahankan walaupun terpaksa membayar harga yang amat mahal.

“Hari ini bukan hari untuk membalas dendam. Saya keluar dari mahkamah bukan dengan kebencian tetapi dengan tanggungjawab yang lebih besar, saya akan terus ke Parlimen,” katanya.

Pagi tadi, Syed Saddiq dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan dan hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta, selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan membabitkan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan pendakwaan.

Dalam penghakiman majoriti 2-1, panel dua hakim iaitu Che Mohd Ruzima dan Sequerah memutuskan Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf apabila membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu pada Jun tahun lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN