PETALING JAYA: Banjir kilat yang melanda Medan Selera Seksyen 51A atau Medan Selera 223 di sini, petang kelmarin sekali lagi mengakibatkan para peniaga menanggung kerugian ribuan ringgit selepas premis itu dinaiki air dengan pantas.
Ini merupakan kejadian banjir kali kelima yang terpaksa dihadapi mereka sepanjang tahun ini.
Majoriti peniaga terlibat meluahkan perasaan letih dan buntu berikutan isu limpahan air sungai yang terus berulang setiap kali hujan lebat tanpa penyelesaian konkrit.
Tinjauan Utusan Malaysia tengah hari semalam mendapati, kira-kira tujuh peniaga sedang melakukan kerja-kerja pembersihan gerai bagi memastikan premis dapat kembali beroperasi hari ini.
Bah Sabtu lalu berlaku ketika kehadiran luar biasa pengunjung ekoran penganjuran sebuah ekspo di kawasan berhampiran.
Seorang peniaga yang juga ibu tunggal, Jamaliah Yusoff, 62, berkata, sebaik sahaja menyedari air memasuki ruang kedai sekitar pukul 4.30 petang, dia mengambil langkah awal mengalihkan kenderaan ke tempat selamat.
Dia yang sudah 35 tahun berniaga di situ mengakui, berasa trauma dengan kejadian sebelum ini yang menyebabkan kenderaannya mengalami kerosakan teruk sehingga menelan kos membaiki mencecah RM3,000.
“Saya sempat alih kereta tapi barang dan alatan memasak langsung tak sempat diselamatkan. Dapur serta mesin pengisar yang baharu sahaja dibeli dua bulan lalu rosak terkena banjir,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, beberapa buah peti ais peniaga juga rosak, sekali gus menyebabkan bekalan bahan mentah seperti ayam turut busuk berikutan bekalan elektrik yang terputus.
Seorang lagi peniaga yang sudah 15 tahun berniaga, Arina Ahmad, 42, berkata, dia terpaksa mengeluarkan modal baharu bagi membeli semula bahan-bahan masakan terjejas.
“Stok barangan yang dibeli semalam seperti daging kambing dan beras semuanya rosak dan tidak lagi boleh digunakan. Mahu atau tidak, modal baharu terpaksa dikeluarkan untuk membeli bekalan baharu hari ini,” katanya.
Untuk bencana kali ini, dia membuat persediaan awal dengan menaikkan kedudukan peti ais lebih tinggi dan meletakkan peralatan lain atas meja dapur.
Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membantu operasi mencuci, sejurus air banjir surut sekitar pukul 6.30 petang.-UTUSAN










