ALOR SETAR: Kerajaan negeri menjelaskan cadangan memindahkan penduduk Kampung Baru, Jalan Istana Lama di sini telah dibincangkan sejak awal tahun ini dan turut dipersetujui penduduk terlibat.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, penduduk juga maklum mengenai perpindahan itu selain kerajaan negeri menyediakan rumah baharu di Taman Wira di sini.
“Kita sudah bincang lama, mereka pun sebenarnya sudah setuju untuk pindah. Kerajaan negeri juga sediakan rumah kerajaan di Taman Wira.
“Jadi, kita terkejut apabila timbul isu pelbagai dakwaan daripada penduduk terlibat termasuk mengatakan mereka dihalau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas tentang kenyataan penduduk di kawasan tersebut yang disiarkan akhbar ini semalam bahawa mereka menerima notis mengosongkan kediaman masing-masing dalam tempoh 30 hari.
Penduduk juga mendakwa perkampungan yang mempunyai lapan unit rumah itu juga mempunyai nilai sejarah yang tinggi apabila dihuni oleh mereka yang berkhidmat dengan istana Kesultanan Kedah sejak 100 tahun lalu.
Sementara itu, Mansor berkata, pembangunan di kawasan tersebut tidak dapat dielakkan apatah lagi ia merupakan tanah milik kerajaan negeri.
“Mengikut rancangan, kawasan berkenaan merupakan tanah milik kerajaan di tengah-tengah bandar Alor Setar yang akan dibangunkan bagi projek pembangunan termasuk Urban Forest 2 dan hotel.
“Tanah itu tetap tanah kerajaan walaupun dahulu mereka dibenarkan tinggal di situ. Kalau ada perkara yang belum selesai, kita akan bertemu dengan mereka untuk berbincang dan mencari penyelesaian,” katanya.
Mengulas tuntutan pampasan, beliau berkata perkara itu bukan di bawah bidang kuasanya sebaliknya tertakluk kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK).-UTUSAN










