Penggiat sastera berdosa tidak bantu memasyarakatkan sastera

Penggiat sastera berdosa tidak bantu memasyarakatkan sastera

RUMAH PENA di ibu negara yang menjadi lokasi penganjuran acara sastera khususnya deklamasi puisi meski pun dalam keadaan usang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bidang persuratan dan kesusasteraan merupakan elemen penting bagi membentuk jati diri manusia dan sejauh mana kasihnya kepada bangsa dan tanah air.

Penulisan sastera biasanya dijadikan wadah atau platform meluahkan rasa belas, kasihan kepada nasib bangsa dan meluahkan perasaan kepada sesuatu keadaan.

Lebih daripada itu, sastera adalah penggerak tamadun bangsa, tetapi kita menjadi semakin keliru mengapa sastera tidak menjadi pilihan masyarakat.

Maksudnya aktiviti sastera bukan lah seperti acara hiburan yang sering mendapat sambutan. Selebriti sastera kalau ada, tidaklah diminati seperti personaliti hiburan tetapi komuniti sastera menganggap bidang berkenaan satu yang eksklusif hanya untuk mereka.

Program bidang itu pun hanya disertai oleh komuniti sastera yang jumlahnya bukan ramai sangat. Malah tingkah laku aktivis sastera kadangkala meletakkan bidang itu seperti tidak dipandang tinggi.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) Zainal Mohd. Jais berkata, sikap komuniti sastera yang menganjurkan program sesama mereka sahaja mendedahkan kepada kritikan acara sastera selalunya ‘syok sendiri’, hanya kerana tidak inkluisif dan dihadiri kelompok itu sahaja.

“Sastera ini berteraskan kepada tiga elemen iaitu bahasa, sastera dan budaya dan semuanya melibatkan masyaarakat,” ujarnya.

Maka kata beliau, adalah penting acara sastera perlu melibatkan akar umbi terutama generasi muda.

“Kita perlu merakyatkan sastera supaya masyarakat terlibat sama dan menikmati acara ini,” ujarnya.

Acara sastera, kata Zainal tidak sewajarnya melibatkan kelompok kecil seperti pelajar universiti semata-mata, sebaliknya semua lapisan masyarakat.

Aktiviti kesusasteraan ini melibatkan bahasa, sastera budaya, maka GAPENA menganjurkan program berkisar tentang ketiga-tiga cabang tersebut.
GAPENA dianggotai 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau dipanggil badan kerabat di setiap negeri serta Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).

Kesemuanya wajar menganjurkan program yang disebutkan itu yang membabitkan akar umbi dan golongan muda. Maka aktivis sastera tanah air bukan sahaja perlu merakyatkan sastera, tetapi menganjurkan aktiviti yang dapat mengangkat martabat sastera.

Dengan ini katanya, kegiatan sastera bukannya dilihat sebagai program jalanan dan golongan marhaen sahaja sebaliknya satu program inklusif kepada semua lapisan masyarakat.

Beliau turut berharap pelbagai pihak menyokong aktiviti sastera anjuran pelbagai pihak termasuklah NGO sastera dengan memberi sumbangan dan dana manakala kerajaan juga perlu melihat sastera sebagai aktiviti yang membantu dalam pemupukan jati diri dan jiwa patriotik.

“Mereka (penganjur aktiviti) yang datang kepada kerajaan memohon sumbangan untuk menganjurkan program wajar menunjukkan kesungguhan bagi membuktikan sastera penting dan tidak datang (memohon penajaan) dengan penampilan yang seolah-olah memperlekehkan bidang ini,” ujarnya.

Kata beliau, perbuatan yang menggambarkan sastera sebagai program golongan marhaen di tepi jalan boleh dianggap sebagai berdosa kepada dunia sastera secara keseluruhannya.

Beliau mengakui itu antara masalah dengan NGO sastera meski pun mereka berniat menganjur aktiviti bertujuan merakyatkan bidang itu.

Atas tujuan itu Zainal memberi contoh, pihaknya sebelum ini menganjurkan program sastera yang inklusif antaranya kenduri sastera di Morib, Selangor.

Zainal tidak bersetuju aktiviti sastera disertai oleh khalayak bidang berkenaan sahaja, sebaliknya perlu ada daripada bidang lain seperti jurutera, doktor atau peguam.

Senario tersebut, katanya, menunjukkan sastera mempunyai minat dalam kalangan pelbagai bidang kepakaran kerana menyedari sastera menyemai nilai kemanusiaan .

Beliau mengingatkan bahawa sastera dan budaya adalah teras pembinaan tamadun, maka semua pihak wajar menyedari kepentingannya.

Apabila manusia hanya dididik dalam bidang tertentu sahaja, mereka mungkin terdedah kepada bidang masing-masing sahaja, dan tidak mempunyai jati diri dan nilai kemanusiaan yang kukuh.

Apakah maknanya jika individu tertentu pakar dalam bidang mereka tetapi tiada jati diri, nilai patriotisme terhakis seterusnya mendedahkanTetapkan imej terencana diri kepada perbuatan salah laku?

Menurutnya, sastera wajar dilihat sebagai bidang memupuk semangat tersebut, dan mampu mengelak manusia mengutamakan nilai kebendaan semata-mata.

Ini kerana katanya, ada yang menganggap sastera tidak mempunyai nilai komersial dan terdedah kepada kemiskinan, sebaliknya jika menjadi penulis mampan, maka ganjaran kebendaan dan wang tetap ada.

Seperkara lagi katanya, sastera perlu diajar di peringkat sekolah supaya pelajar terdedah kepada bidang itu di peringkat awal.

“Kembalikan sastera ke sekolah untuk (lulus) peperiksaan,” ujarnya.

Setakat ini antara kerabat GAPENA yang akif menganjurkan aktiviti sastera ialah PENA termasuklah antaranya program deklamasi puisi setiap bulan sejak berdekad lepas.

PENA yang menjadi naungan ratusan penulis tempatan memerlukan dana dan bantuan daripada kerajaan bagi menganjurkan kegiatan sastera.

PENA yang menganjurkan aktiviti deklamasi puisi tersebut ini tidak menerima bantuan yang mencukupi sedangkan banyak kegiatannya dianjurkan antaranya penganjuran Program buku PENA- Madani dan deklamasi puisi.

Dari satu segi lain, Presiden PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkata, Rumah PENA di ibu negara juga memerlukan dana bantuan untuk kerja-kerja pentadbiran dan penyelenggaraan.

Beliau tidak menolak kemungkinan PENA ibarat dinosaur yang berdepan ancaman kepupusan tanpa aktiviti yang kesemuanya memerlukan kos untuk dianjurkan.

Saleeh turut berharap golongan muda tampil menyumbangkan idea atau cadangan yang boleh dibincangkan supaya kegiatan sastera dan penulisan dapat terus dilaksanakan.

“Kita memerlukan pandangan dan cadangan daripada penulis muda bagi memperkasa bidang penulisan dan pemikiran supaya kegiatan sastera yang sesuai dengan cita rasa mereka dapat dianjurkan.

“Kalau tidak (tanpa aktiviti) PENA boleh jadi dinosaur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Saleeh berkata, tapak Rumah PENA dimiliki Jabatan Perdana Menteri dan persatuan tersebut membayar sewa bulanan. Pihaknya juga mengucapkan penghargaan kepada kerajaan yang terus memberi bantuan seperti baucar buku dan Program buku PENA-Madani .

“Kami berharap kerajaan memberi pengecualian sewa kepada Rumah PENA ini bagi mengurangkan beban kepada kami,” ujarnya. Bantuan seperti itu serta pengecualian sewa Rumah PENA wajar diteruskan. Pihaknya juga mahukan kepastian kedudukan persatuan tersebut sama ada di bawah Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pelancongan Seni, dan Budaya (MOTAC).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN