IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah serta merampas sepucuk pistol dan tujuh laras senapang tiruan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kampung Cina, Sitiawan pada Rabu lalu.
Dalam serbuan antara pukul 7.15 hingga 10 malam itu, pihak polis turut merampas dua laras busur silang tiruan dan 208 butir peluru hidup serta lapan butir kelongsong peluru.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, rampasan itu dilakukan susulan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun selepas polis menahan sebuah kereta jenis Proton Wira di Taman Terus Maju, Sitiawan.
Katanya, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menjumpai tiga paket plastik berwarna merah yang setiap satu mengandungi bahan disyaki dadah jenis MDMA seberat 66.64 gram.
“Susulan tangkapan itu, polis menjalankan serbuan kedua di sebuah rumah sebelum menemukan 12 paket plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi dadah disyaki jenis ketamin seberat 64.30 gram.
“Pemeriksaan lanjut di sebuah pondok kayu di bahagian belakang rumah pula menemukan beberapa senjata api tiruan, busur silang serta peluru hidup,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Mohd. Alwi berkata, siasatan awal mendapati suspek mendakwa menyimpan senjata api tiruan berkenaan kerana minat terhadap koleksi senjata.
Bagaimanapun beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan lain memandangkan pemeriksaan turut menemukan peluru hidup bersama senjata berkenaan.
“Untuk siasatan awal, suspek beritahu dia minat senjata api sebagai koleksi sendiri cuma senjata api ini memang tidak boleh disimpan walaupun tiruan.
“Kita percaya suspek memperoleh semua senjata itu dari sempadan. Memandangkan polis turut menemukan peluru hidup, senjata api dan peluru yang dirampas akan dihantar ke Jabatan Forensik bagi menentukan sama ada senjata tersebut boleh digunakan dengan peluru hidup yang ditemukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, suspek yang tidak bekerja itu menjual sendiri bekalan dadah kepada pengguna dan dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak empat bulan lalu.
Katanya, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM6,547 dan boleh digunakan oleh kira-kira 100 penagih dadah.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini ditahan reman selama enam hari bermula 2 Julai lalu sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960,” katanya.










