LIPIS: Sudah lebih dua dekad penduduk Kampung Mela di sini dan kawasan berhampirannya berdepan risiko keselamatan ketika melintas landasan kereta api untuk ke sekolah, masjid, premis perniagaan dan pekan sehari.
Penduduk Kampung Mela, Mohd. Safri Salleh, 46, berkata, difahamkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) telah berkali-kali mengemukakan permohonan kepada pihak berwajib untuk pembinaan jejantas bagi memudahkan pejalan kaki dan penunggang motosikal menyeberang.
“Keadaan ini membahayakan orang ramai pada waktu pagi apabila kereta api dari arah Gemas, Negeri Sembilan kerap berulang-alik ke Lipis mengikut jadual dan berhenti di Stesen Kampung Mela pada waktu siang manakala tren ekspres dari Tumpat ke Gemas melalui laluan ini pada waktu malam.
“Hal ini membimbangkan kerana dikhuatiri berlaku kejadian yang tidak diingini melibatkan penduduk, khususnya warga emas, kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah dengan basikal dan penunggang motosikal yang menyeberang di laluan berhampiran stesen berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Safri berkata, walaupun kawasan lintasan itu dipasang papan tanda amaran, ia tetap sibuk setiap hari apabila penduduk Taman Selinsing dan lima petempatan lain berulang-alik ke masjid serta menghantar anak ke sekolah.
“Penduduk di sini memohon ihsan pihak berwajib membina jejantas bagi memudahkan lintasan kerana kami tidak mampu menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh untuk ke masjid, sekolah dan kawasan perumahan di seberang jalan,” katanya.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail, 67, berkata, ketika berkhidmat sebagai Pengerusi JPKK, permohonan pembinaan jejantas dibuat setiap tahun.
“Permohonan sebelum ini dibuat berasaskan faktor keselamatan kerana kemudahan ini sangat penting,” katanya. – UTUSAN










