KUALA LUMPUR: Penduduk diberi peluang untuk menyuarakan pandangan serta bantahan terhadap sesuatu projek pembangunan sebelum ia diluluskan menerusi sesi pendengaran awam, termasuk bagi cadangan yang bercanggah dengan rancangan tempatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi Kaedah 3 bagi memastikan setiap pembangunan mengambil kira pandangan penduduk yang terlibat.
Beliau memberi contoh, jika sesuatu permohonan pembangunan didapati bercanggah dengan rancangan tempatan, sesi pendengaran awam perlu dilaksanakan oleh pihak pemaju bersama pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan pandangan sebelum sebarang pembangunan diteruskan.
“Jadi semua ini sekarang menggunakan dasar baharu, iaitu kita mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh, cuma proses ini mengambil masa yang panjang dan bukan straight forward.
“Jadi saya minta sekarang ini kalau penduduk lihat notis Kaedah 3, pendengaran awam, mereka jangan lompat kerana sekarang ini dengan adanya jawatankuasa OSC 3.0, maklumat banyak diberikan kepada mereka.
“Apabila mereka dapat banyak maklumat, sometimes dengan izin, it can be a bit overwhelming (a boleh menjadi agak membebankan) kepada mereka. Tetapi ini adalah cara pentadbiran baru, kita nak libatkan semua penduduk yang terlibat di kawasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Halimah Ali (PN-Kapar) yang meminta menteri menjelaskan tentang jaminan kerajaan tidak menjejaskan hak pemilikan harta rakyat di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan khususnya bagi penduduk yang terlibat dengan projek pembangunan semula bandar.
Katanya lagi, semua permohonan pembangunan akan dimuat naik dalam kuartal OSC 3.0 dimana semua pihak termasuk ahli parlimen serta orang awam mempunyai akses kepada sistem tersebut.
“Di mana sebelum sebarang kelulusan boleh diberikan kepada pemaju, ahli Parlimen serta orang awam melalui ahli parlimen mereka boleh salurkan pandangan yang akan dipertimbangkan oleh Datuk Bandar sebelum sebarang kelulusan pembangunan diberikan,” katanya. – UTUSAN










