Politeknik Jeli Kelantan (PJK) mencatat pencapaian membanggakan apabila merekodkan 374 pelajar baharu bagi Sesi I 2026/2027, sekali gus melebihi norma ambilan yang ditetapkan iaitu seramai 360 pelajar.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding pengambilan Sesi II 2025/2026 yang hanya merekodkan 124 pelajar.
Peningkatan ketara itu mencerminkan keyakinan dan kepercayaan yang semakin tinggi dalam kalangan pelajar serta ibu bapa terhadap PJK sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menawarkan program pengajian berkualiti serta memenuhi keperluan industri.
Lebih membanggakan, PJK turut menerima kemasukan beberapa pelajar lepasan SPM yang memperoleh keputusan cemerlang, termasuk 8A dan 7A, yang memilih untuk menyambung pengajian di politeknik ini kerana minat terhadap program-program yang ditawarkan.
Dengan kemasukan pelajar baharu tersebut, jumlah keseluruhan pelajar di politeknik berkenaan kini meningkat kepada 1,313 orang, sekali gus menyemarakkan lagi suasana pembelajaran dan kehidupan kampus.
Pengurusan Politeknik Jeli Kelantan merakamkan penghargaan kepada semua warga kerja, ibu bapa, alumni, rakan strategik serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama dalam memperkukuh imej serta kecemerlangan institusi.
Pencapaian ini diyakini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan PJK untuk melahirkan graduan TVET yang kompeten, berdaya saing dan memenuhi keperluan pembangunan negara, selaras dengan aspirasi memperkasa pendidikan teknikal dan vokasional di Malaysia. –UTUSAN










