Penangguhan perjanjian air Perak-Pulau Pinang tiada kaitan politik - Utusan Malaysia

Penangguhan perjanjian air Perak-Pulau Pinang tiada kaitan politik

SAARANI Mohamad menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penangguhan pemeteraian perjanjian projek air Perak ke Pulau Pinang bukan berpunca daripada faktor politik.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perjanjian itu merupakan urusan antara Khazanah Air Perak (KAP) dan pengurusan air Pulau Pinang tanpa melibatkan kerajaan negeri.

“Perjanjian di antara KAP dengan Pulau Pinang ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan kerajaan negeri kerana ia adalah urusan perniagaan dengan perniagaan (B2B).

“KAP merupakan entiti perniagaan, iaitu syarikat usaha sama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) bersama Gamuda Berhad JV (PKNPk-Gamuda JV).

“Mereka yang akan berunding dan membuat perjanjian dengan pengurusan air Pulau Pinang. Tiada kena-mengena dengan politik, ini cerita air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Tahun 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Saarani berkata, berdasarkan maklumat diterimanya, penangguhan itu diminta oleh kerajaan Pulau Pinang bagi memberi ruang memperincikan beberapa perkara sebelum perjanjian dimeterai.

Katanya, tarikh baharu pemeteraian perjanjian itu masih belum ditetapkan dan bergantung kepada kesediaan Pulau Pinang.

“Sepatutnya, kalau ikut tarikh asal pada 10 Julai, tetapi saya dimaklumkan pihak Pulau Pinang yang minta tangguh, mungkin ada perkara yang hendak diperincikan. Yang minta tangguh ialah Pulau Pinang, bukannya KAP.

“Bila perjanjian itu akan ditandatangani, saya tidak tahu. Terpulang kepada Pulau Pinang. Apabila mereka sudah bersedia, mereka akan menandatanganinya,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai harga air yang dipersetujui dalam rundingan berkenaan, beliau berkata, perkara itu hanya boleh diumumkan selepas perjanjian dimeterai.

“Kita tidak boleh umum selagi perjanjian itu belum ditandatangani,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN