KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah menerima bayaran interim Pemberian Khas berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun lalu, susulan pengumuman peningkatan bayaran interim kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Mohd Ishak Ayub berkata, pihaknya turut memohon agar baki RM900 juta lagi disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam tahun ini.
“Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, kerajaan Sabah telah menerima bayaran interim Pemberian Khas bagi tahun 2026 berjumlah RM600 juta daripada Kerajaan Persekutuan pada 12 Jun 2026.
“Sehubungan itu, Kerajaan Sabah telah memohon agar baki sebanyak RM900 juta disalurkan kepada Kerajaan Sabah dalam tahun ini juga,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.
Menurut beliau, peningkatan bayaran interim itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada 30 Mei lalu, selain disusuli beberapa siri surat-menyurat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bertarikh 9, 19 dan 26 Jun 2026.
Mohd Ishak turut menegaskan persetujuan terhadap kadar baharu bayaran interim Pemberian Khas sebanyak RM1.5 bilion hanyalah satu penyelesaian sementara dan tidak boleh ditafsirkan sebagai persetujuan terhadap amaun muktamad yang sepatutnya diterima negeri itu.
Katanya, persetujuan tersebut dibuat tanpa menjejaskan hak-hak Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, selain tidak menghalang rundingan berhubung pelaksanaan formula 40 peratus bagi menentukan amaun muktamad Pemberian Khas.
“Kerajaan Sabah kekal berpendirian bahawa formula 40 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan sepenuhnya.
“Sekiranya persetujuan mengenai amaun muktamad tidak dapat dicapai melalui rundingan, Kerajaan Sabah berpandangan pelantikan seorang penaksir bebas sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN










