PETALING JAYA: Usaha membangunkan bakat serta mempersiapkan golongan profesional menghadapi era kecerdasan buatan (AI) mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan profesional di peringkat serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) diketuai Presidennya, Prof. ChM Dr. Juan Joon Ching.
Katanya, penglibatan komuniti profesional amat diperlukan bagi membantu kerajaan meningkatkan keupayaan negara dalam bidang inovasi dan pembangunan bakat.
“Kerajaan menghargai peranan komuniti profesional sebagai rakan strategik dalam memperkukuh daya saing negara, memacu inovasi dan menjayakan agenda Madani demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, Anwar turut menerima jemputan untuk menghadiri Hari Ikhtisas Malaysia yang mengiktiraf sumbangan golongan profesional terhadap pembangunan negara.
“Mudah-mudahan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti profesional akan terus diperkukuh demi melahirkan lebih ramai bakat yang berintegriti, berdaya saing dan memimpin Malaysia ke hadapan,” katanya. – UTUSAN










