KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) melaksanakan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) secara komprehensif di kawasan pembinaan dan pelebaran lebuh raya bagi memastikan keselamatan pengguna serta pematuhan had laju sepanjang tempoh projek.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pelan itu dilaksanakan oleh syarikat konsesi dan kontraktor dengan mematuhi spesifikasi serta garis panduan yang ditetapkan di setiap kawasan kerja.
Katanya, ia merangkumi penyediaan papan tanda amaran, pengurangan had laju, penempatan peralatan kawalan trafik seperti penghadang trafik, lampu amaran, lampu limpah dan kawalan trafik.
“Kawasan pembinaan dipantau secara 24 jam sehari oleh pasukan trafik khususnya Emergency Response Team (ERT) bagi memastikan semua keperluan keselamatan di kawasan pembinaan dipatuhi termasuk pematuhan kepada spesifikasi TMP yang telah diluluskan.
“Selain itu, ERT juga berperanan mengesan sebarang kejadian insiden dengan lebih pantas serta membekal maklumat awal kepada pusat kawalan trafik untuk disalurkan kepada pengguna lebuh raya.
“Menerusi langkah ini, proses pengalihan kenderaan dan pembersihan laluan utama akibat daripada kemalangan dapat diuruskan dengan cekap dan teratur,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa berhubung langkah menguatkuasakan Perintah Pengurangan Had Laju Kebangsaan terhadap kenderaan berat di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) yang sedang menjalani projek naik taraf.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kementerian juga melaksanakan Audit Keselamatan Jalan Raya secara berperingkat bagi mengenal pasti keberkesanan pelan pengurusan trafik ketika peringkat pembinaan dan operasi.
Katanya, sebarang penemuan hasil audit akan ditangani segera melalui langkah mitigasi yang bersesuaian bagi memastikan tahap keselamatan di kawasan projek sentiasa dipertingkatkan.
“KKR turut memperkukuh advokasi dan pendidikan keselamatan jalan raya melalui kerjasama strategik dengan syarikat konsesi lebuh raya serta agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (NPC).
“Program kesedaran juga dilaksanakan secara berterusan melibatkan persatuan kenderaan berat dan pihak berkepentingan lain bagi meningkatkan kefahaman pengguna jalan raya tentang kepentingan mematuhi peraturan lalu lintas dan keperluan spesifikasi kenderaan berat,” katanya.-UTUSAN










