MUAR: Berita baik dijangka diumumkan kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi pembentangan Belanjawan 2027 pada Oktober ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dapat mendedahkan butiran lanjut ketika ini kerana perlu mematuhi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, cadangan berkaitan elaun pelajar STPM telah dibawa oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ke mesyuarat Jemaah Menteri dan kini dalam pertimbangan kerajaan.
“Saya tidak boleh mengumumkan lebih daripada itu di Johor kerana ia melanggar peraturan pilihan raya tetapi perkara ini telah diangkat oleh Fadhlina beberapa ketika dulu.
“Dan saya kata tunggu semasa pembentangan Belanjawan 2027, saya akan umumkan berita yang baik,” katanya pada Program Temu Anwar, Johor ke Depan di Dewan Restoran Seng Kee PTL, di sini semalam. Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak mengenai kesediaan kerajaan memberikan elaun kepada pelajar STPM.
April lalu, akhbar ini melaporkan kerajaan meneliti cadangan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam sama seperti yang dinikmati pelajar Program Matrikulasi. Ketika ini, pelajar Matrikulasi menerima Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BSHP) berjumlah RM250 sebulan.
Pemberian elaun itu dilihat selari dengan langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan Enam dan Matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Jun lalu, Fadhlina berkata KPM akan membawa cadangan pemberian elaun pelajar Tingkatan Enam ke mesyuarat Jemaah Menteri. Katanya, kementerian memahami keutamaan dan harapan pelajar Tingkatan Enam dan menegaskan perkara itu masih diperjuangkan.
Berdasarkan rekod calon STPM dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, dianggarkan kira-kira 40,000 hingga 43,000 pelajar Tingkatan Enam bagi setiap kohort berpotensi menikmati manfaat tersebut sekiranya cadangan itu dilaksanakan.
Mengenai usaha mengurangkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, Anwar berkata beliau sudah mengusulkan cadangan baharu kepada KPM untuk mengatasi masalah tersebut.
“Setiap daerah mulai sekarang akan memilih 10 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di seluruh Malaysia sebagai ujian bagaimana kita boleh memberikan tumpuan untuk meningkatkan mutu pendidikan. Itu permulaan, walaupun ada cara-cara lain yang KPM sedang selenggarakan,” katanya.
Beliau turut berkata semua syarikat besar yang memperoleh keuntungan tinggi diminta mengambil sekolah angkat, sama ada sekolah rendah atau sekolah menengah, bagi membantu menambah kemudahan serta meningkatkan martabat pendidikan. Katanya, KPM akan melakukan pemantauan sementara Kementerian Kewangan menyelaras pelaksanaan bersama syarikat-syarikat besar di Malaysia.
Sementara itu, Anwar berkata perhatian Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bukan berkait dengan musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, sebaliknya merupakan pendekatan konsisten dalam agenda pembangunan sosioekonomi negara. Katanya, usaha memperkukuh sokongan kepada AIM adalah bagi memastikan bantuan dan pembiayaan sampai kepada golongan memerlukan, terutama masyarakat luar bandar yang berdepan risiko tercicir.
“AIM bukan langkah bersifat politik atau bertujuan memancing undi, sebaliknya dasar berterusan yang telah lama dibincangkan dan dimuktamadkan dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
“Kalau sebelum ini pelbagai agensi telah diwujudkan bagi membantu masyarakat, namun masih terdapat keadaan apabila sebahagian bantuan gagal sampai kepada golongan sasaran di peringkat akar umbi. Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan lagi sokongan kepada AIM di seluruh negara sebagai usaha memperluaskan manfaat program kepada lebih ramai penerima yang layak,” katanya. – UTUSAN








