SMA Repah cipta baja vermikompos inovasi Smart Worm Bin

Pelajar SMA Repah cipta baja tahi cacing hasil inovasi Smart Worm Bin

Ahmad Fadhirul Fitro Mohd Idris (tengah) bersama para pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Repah bergambar bersama inovasi mereka iaitu Smart Worm Bin yang menjuarai Anugerah Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad Celik Initiative 2025 di Petrosains baru-baru ini . – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu kepentingan pembabitan pelajar dalam bidang berasaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) adalah memberi pendedahan kepada pelajar projek inovasi.

Pendedahan kepada pelajar dalam projek membangunkan inovasi tertentu adalah bertujuan menggalakkan mereka menceburi bidang sains berteknologi tinggi yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan bakat dan tenaga kepakaran untuk negara.

Hanisah Mohd Ali (duduk, tengah) bersama Zul Mawardi (tengah, tiga kanan) bersama pemenang dan finalis pada Majlis Anugerah KPS Berhad Celik Initiative 2025 iaitu pertandingan STEM di Petrosains, Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Ia sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), penerapan elemen Internet of Things (IoT), sekali gus memberi bermakna dalam projek berasaskan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) turut membuka ruang kepada pelajar membangunkan penyelesaian inovatif terhadap masalah sebenar yang dihadapi masyarakat.

Penggunaan teknologi automasi dalam bidang pertanian dan pengurusan sisa semakin mendapat perhatian apabila mampu meningkatkan kecekapan penghasilan baja organik serta mengurangkan risiko kerugian kepada pengusaha.

Antara inovasi yang dibangunkan ialah Smart Worm Bin, sistem pintar yang direka bagi mengawal suhu dan kelembapan secara automatik untuk memastikan proses vermikompos berjalan lebih stabil, sekali gus mengelakkan kematian atau penghijrahan cacing kompos.

 

Pengalaman membangunkan inovasi Smart Worm Bin membuka minat murid Sekolah Menengah Agama Repah, Tampin untuk lebih berani meneroka bidang STEM.
Pelajar Tingkatan Tiga, Sayyed Izzul Ziqri Sayuti berkata, pwenyertaannya dalam projek itu memberi pengalaman baharu terutama dalam bidang inovasi teknologi dan kerja berkumpulan.

“Pengalaman menyertai program ini menyeronokkan kerana saya belajar banyak perkara baharu tentang inovasi teknologi dan kerja kumpulan,” katanya ketika dihubungi Utusan Pelajar.
Dia sebelum itu ditemui dalam program pertandingan STEM anjuran Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad Celik Initiative di Petrosains, Kuala Lumpur.

Program tersebut dilancarkan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Selangor, Hanisah Mohd Ali, ketika itu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, Zul Mawardi.

Sayyed Izzul berkata, dia mahu menyertai lagi pertandingan seumpama itu kerana ilmu dan pengalaman diperoleh tidak mudah dilupakan.

Katanya, lebih ramai murid perlu diberi peluang menyertai program inovasi bagi mengharumkan nama sekolah masing-masing.

“Kepada rakan-rakan, jangan takut untuk menyertai pertandingan kerana melalui program begini, kita akan mendapat banyak pengalaman dan ilmu yang tidak boleh dibeli di mana-mana,” katanya.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Empat, Ahmad Farish Hakeem Abdullah berkata, projek Smart Worm Bin memberi peluang kepadanya bekerja dalam kumpulan, menyelesaikan masalah dan membentangkan idea kepada orang ramai.

Katanya, pengalaman tersebut menguatkan minatnya untuk menjadi arkitek kerana bidang tersebut dekat dengan reka bentuk dan kreativiti.

BajaCing merupakan hasil akhir vermikompos.

 

“Saya mahu menjadi arkitek kerana minat dalam mereka bentuk dan menghasilkan sesuatu yang kreatif.

“Melalui projek ini, saya mendapat pengalaman bekerja dalam kumpulan, menyelesaikan masalah dan membentangkan idea kepada orang ramai,” katanya.

Ahmad Farish berkata, dorongan guru pembimbing, Ahmad Fadhirul Fitri Mohd. Idris atau Cikgu Fitri serta sokongan ibu bapa banyak membantunya menyertai projek tersebut.

“Kepada rakan-rakan, jangan hadkan diri dengan perkara biasa sahaja. Beranilah mencuba sesuatu yang baharu kerana mungkin itulah yang membuka ruang kepada kejayaan akan datang.

“Harapan untuk melihat lebih banyak inovasi daripada murid yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Smart Worm Bin ialah inovasi bagi mengawal suhu serta kelembapan dalam proses penghasilan baja kompos menggunakan cacing African Nightcrawler (ANC).

Sementara itu, Ahmad Fadhirul Fitri Mohd. Idris yang juga Guru Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) berkata, projek itu dibangunkan bersama pelajar selepas mengenal pasti masalah utama dalam proses vermikompos iaitu cacing mudah mati atau keluar daripada bekas apabila suhu dan kelembapan tidak stabil.

Beliau berkata, inovasi itu menggunakan mikropengawal FitArduino R4 Wifi, sensor suhu dan kelembapan serta humidifier bagi menstabilkan keadaan dalam bekas kompos secara automatik.

“Cacing ANC ini sensitif terhadap suhu dan kelembapan. Kalau keadaan terlalu panas, terlalu kering atau terlalu lembap, cacing akan keluar mencari habitat yang lebih sesuai.

“Apabila sensor mengesan suhu meningkat, sistem akan mengaktifkan humidifier untuk melembapkan kawasan dalam bin dan membantu menurunkan suhu,” katanya.

Menurut Ahmad Fadhirul, projek itu bermula sebagai sistem kompos manual sebelum ditambah baik dengan elemen Internet of Things (IoT) melalui proses reka bentuk kejuruteraan (EDP).

Katanya, data daripada sensor juga boleh dipantau melalui aplikasi Blynk yang biasa digunakan dalam projek IoT.

Projek itu muncul johan di peringkat Negeri Sembilan sebelum dinobatkan sebagai juara peringkat kebangsaan selepas menewaskan lapan sekolah daripada lapan negeri dalam pertandingan

STEM anjuran Kumpulan Perangsang Selangor (KPS).

Ahmad Fadhirul berkata, hasil akhir vermikompos itu dinamakan BajaCing dan dijual kepada warga sekolah bagi menjana pendapatan, sekali gus mendedahkan murid kepada elemen keusahawanan.

Katanya, sisa sayur, kulit buah dan bahan kering seperti kotak telur perlu melalui proses pra-kompos sebelum dimakan cacing ANC untuk menghasilkan baja organik.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN