Pelaburan KWSP, KWAP dibuat oleh panel bebas

Pelaburan KWSP, KWAP dibuat oleh panel bebas

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dibuat secara bebas oleh panel profesional tanpa memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua institusi berkenaan mengurus dana persaraan secara telus dan bertanggungjawab menerusi strategi pelaburan bagi melindungi serta menambah nilai dana tersebut.

Katanya, setiap keputusan pelaburan terlebih dahulu melalui penelitian menyeluruh oleh lembaga pengarah, panel dan jawatankuasa pelaburan yang dianggotai wakil kerajaan, sektor swasta serta golongan profesional.

“Keputusan pelaburan itu diteliti melalui projek due diligence, kajian yang sangat teliti dan feasibility study oleh panel pelaburan yang mewakili kepentingan kerajaan dan juga swasta terdiri daripada golongan profesional terpilih.

“Dan keputusan-keputusan yang dibuat itu kemudian dibentangkan kepada lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda berhubung strategi memastikan tabung persaraan negara iaitu KWSP dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pelaburan KWAP dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery diumumkan secara terbuka kerana ia melibatkan dana persaraan rakyat.

Katanya, pelaburan itu telah melalui penelitian panel pelaburan, namun syarikat berkenaan didapati terlibat dalam penipuan yang turut memperdaya beberapa pelabur antarabangsa.

“Pelaburan sekitar RM160 juta itu saya pilih untuk umumkan kerana wang ini merupakan dana persaraan. Dana itu dilaburkan dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery.

“Tetapi ternyata sekarang ada penipuan terancang. Persoalannya mengapa tidak diteliti? Jawapannya, pelaburan itu telah pun diteliti oleh panel pelaburan.

“Ini penipuan yang sangat canggih. Aqua-Spark dari Eropah, 42X dari Abu Dhabi, Northstar dari Indonesia, Temasek dari Singapura, selain SoftBank, Sequoia, ResponsAbility dan 500 turut membuat pelaburan yang jauh lebih tinggi daripada KWAP.

“Jadi mereka semua terpedaya dan orang yang bertanggungjawab itu sudah pun dipenjarakan,” katanya.

Menurut beliau, prestasi KWAP tidak wajar dinilai hanya berdasarkan satu pelaburan yang mengalami kerugian, sebaliknya perlu dilihat secara keseluruhan berdasarkan pencapaian dana itu.

“Keuntungan bersih KWAP ialah RM12.9 bilion iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka lebih waspada, kita harus melihat keseluruhannya dan kaedah tindakan yang diambil,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN