Pekerja berkemahiran tinggi paling ramai hilang kerja - Utusan Malaysia

Pekerja berkemahiran tinggi paling ramai hilang kerja

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan pekerja berkemahiran tinggi muncul sebagai kumpulan paling terjejas akibat pemberhentian kerja di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut analisis terkini Maybank Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, data bagi tempoh 2021 hingga 2025 menunjukkan pekerja berkemahiran tinggi secara purata menyumbang lebih separuh daripada keseluruhan kes pemberhentian kerja. 

“Trend itu berterusan dalam lima bulan pertama 2026 apabila kumpulan sama kekal mencatat jumlah pemberhentian tertinggi,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Maybank Investment Bank, keadaan itu bertentangan dengan tanggapan umum bahawa pekerja berkemahiran rendah lebih berisiko kehilangan pekerjaan ketika syarikat mengurangkan tenaga kerja.

“Antara faktor yang mungkin menyumbang kepada situasi ini ialah kecenderungan pekerja berkemahiran tinggi untuk menerima Skim Pemisahan Sukarela (VSS), Skim Pemisahan Bersama (MSS) dan pakej persaraan awal,” katanya.

Berdasarkan Klasifikasi Standard Pekerjaan Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kategori pekerja berkemahiran tinggi merangkumi pengurus, profesional, juruteknik dan profesional bersekutu.

Data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula menunjukkan hampir 39,000 pekerja diberhentikan antara Januari hingga Mei 2026, meningkat 36 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sektor pembuatan dan perkhidmatan merekodkan jumlah pemberhentian tertinggi, dengan pengecilan operasi perniagaan dan penutupan syarikat dikenal pasti sebagai punca utama.

Bagaimanapun, Maybank Investment Bank berkata, pasaran buruh negara masih berada pada tahap guna tenaga penuh, disokong oleh pemulihan ekonomi pasca pandemik dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Firma penyelidikan itu berkata, pekerja yang diberhentikan terus diserap ke dalam pasaran pekerjaan menerusi peningkatan peluang pekerjaan, dengan nisbah 1.5 penempatan pekerjaan bagi setiap seorang pekerja yang diberhentikan sepanjang Januari hingga Mei tahun ini.

Selain itu, perkembangan sektor tidak formal seperti perusahaan mikro, ekonomi gig dan pekerjaan bebas turut membantu mengurangkan kesan kehilangan pekerjaan dengan menyediakan sumber pendapatan alternatif kepada pekerja yang terjejas. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN