Pekema santuni 10 bekas atlet negara melalui sumbangan kebajikan

Pekema santuni 10 bekas atlet negara melalui sumbangan kebajikan

BEKAS atlet-atlet negara menerima sumbangan daripada Pekema pada majlis makan malam sempena penyampaian hadiah golf di Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 10 bekas atlet negara daripada pelbagai disiplin sukan menerima sumbangan kebajikan daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) sempena Pekema Golf President’s Cup Edisi Ke-12, malam tadi.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, sumbangan itu diberikan sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan sumbangan bekas atlet itu dalam mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan Pekema dalam melaksanakan tanggungjawab sosial selain menjayakan penganjuran kejohanan golf berprestij.

“Penerima sumbangan terdiri daripada bekas atlet kebangsaan dalam sukan golf, renang para, berbasikal, hoki, angkat berat, olahraga para dan bola sepak yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pelbagai kejohanan antarabangsa.

“Bekas atlet negara telah banyak berjasa mengharumkan nama Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang di pentas dunia. Sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargai jasa mereka.

“Kejayaan sesebuah organisasi bukan hanya diukur melalui keuntungan atau pertumbuhan perniagaan, sebaliknya apabila kita mampu berkongsi rezeki dan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena penyampaian hadiah kejohanan golf itu di sini, malam tadi.

Antara penerima sumbangan termasuk Samsudin Dingkil, 55, Mohd Sha’aban Mohd Hussin, 46 dan Ravichanthiran Nadarajah, 62, dari sukan golf selain bekas atlet renang para, Koh Lee Peng, 53, dan Vasu Manickam, 49.

Turut menerima sumbangan ialah Zainun Osman, 74 (sukan berbasikal),
Muhammad Rafiq Fidelis Abdullah, 62 (hoki), Mohd Rosdi Ngah, 50 (angkat berat) selain atlet olahraga para Azman Mohamed Salleh, 54 dan bekas pemain bola sepak Kamarul Zaman Yussoff, 65.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi berkata, pihaknya menghargai sumbangan diberikan PEKEMA sekali gus mencerminkan keprihatinan pertubuhan itu kepada kebajikan bekas atlet.

Menurutnya, Pekema bersetuju menyalurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada 10 penerima OKU menjadikan jumlah keseluruhan bantuan yang disampaikan sebanyak RM30,000.

“YAKEB mempunyai lebih 3,200 ahli dan kami sentiasa berusaha membantu mereka yang kini berdepan pelbagai cabaran kehidupan termasuk masalah kesihatan, kekangan ekonomi dan keperluan rawatan berterusan.

“YAKEB berharap lebih banyak inisiatif kebajikan dapat dilaksanakan pada masa hadapan bagi memastikan kebajikan bekas atlet terus terbela,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN